'Tak guna nak siasat'

Sinar Harian
Januari 28, 2022 08:23 MYT
TUNKU ISMAIL: Di JDT, jika ada masalah kami bersama-sama ada sikap tanggungjawab untuk betulkan. FAM patut ikut cara sama, tak perlu mesyuarat tanya itu dan ini. - Gambar fail
“BUANG masa tubuhkan Badan Siasatan Bebas!” demikian tegas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika diminta mengulas usaha yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu dalam merungkai kegagalan skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
“Awak ada tengok JDT mesyuarat? Saya tak pernah pergi mesyuarat, saya panggil semua yang bekerja dalam kelab, beri saya laporan, di situ juga saya membuat keputusan dan laksanakan kerja masing-masing, habis cerita.
“Tak guna nak siasat, tangguh keputusan mesyuarat yang lagi satu, itu semua membuang masa, nak buat kerja di mana-mana sahaja boleh, tapi yang penting kena cepat buat keputusan tak boleh tangguh.
“Di JDT semua orang beri saya laporan, saya cakap benda itu tak betul, jangan buat benda itu dan ini, buat perancangan terus buat keputusan... beri mereka kebebasan penuh untuk menjalankan tugas.
“Jika ada masalah kami bersama-sama ada sikap tanggungjawab untuk betulkan. FAM patut ikut cara sama, tak perlu mesyuarat tanya itu dan ini, fail tebal, saya tahu sebab saya dulu dalam FAM,” katanya dalam temubual bersama portal CakapSukan di Dubai pada Khamis.
Untuk rekod, selepas diumum penubuhannya pada 7 Januari lalu, Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya telah bersidang sebanyak empat kali iaitu pada 12, 14, 16 dan 20 Januari 2022.
Badan siasatan bebas yang diketuai Datuk Dell Akbar Khan telah mengenal pasti 10 dapatan (finding) selain memberikan 10 cadangan penambahbaikan kepada FAM selepas siasatan itu dijalankan.
Pada masa sama, Tunku Ismail berpendapat skuad kebangsaan tidak memerlukan pengurus yang berasingan dengan jawatan ketua jurulatih.
“Jurulatih skuad kebangsaan perlu ada kebebasan membuat pilihan, kita tak perlu ada pengurus daripada ahli Exco FAM. Kenapa perlu ada pengurus? Tak payah, sepatutnya jurulatih itulah pengurus dan dialah ketua jurulatih.
“Bagi dia kebebasan, dia punya program, apa yang dia nak, pemain yang dia nak, semuanya bergantung pada ketua jurulatih,” ujarnya.
Artikel asal di Sinar Harian
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim #badan siasatan bebas #harimau Malaya
;