'Tak biasalah panggil Datuk', Pandelela akui janggal

Munirah Mudzamli
Oktober 10, 2021 09:00 MYT
Tun Abdul Taib menganugerahkan darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Datuk kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg. - Foto BERNAMA
KUCHING: "Janggal." Itu perkataan pertama yang tercetus dari mulut Pandelela Rinong Pamg, kurang sejam bergelar Datuk.
Menurutnya, dia tidak selesa tetapi harus membiasakan diri.
Gadis Bidayuh berusia 28 tahun dari Bau itu bagaimanapun berasa bangga setelah mendapat penghargaan yang tidak pernah dimimpikan.
Dia merupakan antara 17 penerima Darjah Panglima Setia Bintang Sarawak di Bangunan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak pagi Sabtu.
BACA: Ahmad Urai, Abdul Karim dan Pandelela antara penerima darjah kebesaran TYT Sarawak
"Ini merupakan memori yang terindah," jelasnya lagi, yang pernah mendapat dua pingat kebesaran yang lain sebelum ini.
Ratu Terjun Negara itu pernah menerima pingat Ahli Mangku Negara dan Jasa Bakti Sarawak pada 2016, susulan kejayaan mengutip perak dalam Olimpik Rio De Janeiro.
Nama jelitawan ini terus mekar setelah memenangi emas dalam Kejohanan Terjun Dunia di Jepun pada tahun ini, bagi acara 10 meter berirama.
Mula terlibat dalam sukan terjun sejak 20 tahun lalu, Pandelela berikrar menjadikan penganugerahan itu sebagai pembakar semangat buat dirinya untuk terus berjuang mengharumkan nama negara, khususnya Sarawak dalam bidang sukan terjun.
“Ia memberi motivasi kepada saya untuk lebih bersungguh dalam membawa nama negeri dan juga negara” katanya kepada Astro AWANI.
Tinjauan mendapati berita mengenai Pandelela menerima penganugerahan ini mendapat reaksi positif pelbagai pihak, terutamanya daripada komuniti Bidayuh sendiri.
Pandelela merupakan ahli sukan pertama dari Sarawak yang memperoleh gelaran ini, pada usia semuda 28 tahun.
#Pandelela Rinong #Sarawak #gadis Bidayuh #Darjah Panglima Setia Bintang Sarawak
;