Tak begitu hebat tetapi mahal
Ian Johan Ariff
Jun 22, 2015 20:24 MYT
Jun 22, 2015 20:24 MYT
PERSOALAN yang sering bermain di fikiran peminat bola sepak antarabangsa ialah kenapa pemain England yang dianggap tidak begitu handal dijual pada harga terlampau tinggi?
Ramai yang tidak sedar Persatuan Bola Sepak England menetapkan syarat setiap kelab perlu menyenaraikan lapan pemain home-grown atau pemain yang layak mewakili negara itu.
Peraturan itu akan diperketatkan lagi menjelang 2016 kepada 12 pemain tempatan daripada 25 pemain yang disenaraikan untuk beraksi di liga Inggeris.
Ini menyebabkan harga pemain yang berbakat dari England menjadi mahal dalam liga paling popular di dunia itu.
Untuk layak sebagai pemain home-grown, seseorang perlu berdaftar dengan kelab dibawah gabungan FA England atau Wales sekurang-kurangnya tiga musim sebelum mencapai usia 21 tahun.
Ini menyebabkan pemain kelahiran Cameroon, Alex Song yang kini beraksi di Barcelona menjadi buruan kelab utama di England kerana merupakan pemain home-grown yang berdaftar dengan Arsenal sejak remaja lagi.
Jumlah pemain home-grown yang berpotensi tinggi juga amat terhad dan mereka menjadi buruan Manchester City, Liverpool, Manchester United dan Chelsea.
Akibatnya, pemain Liverpool, Raheem Sterling yang dianggap berbakat besar, dinilai pada harga £50 juta.
Pemain England termahal di dunia setakat ini adalah Andy Carroll yang dibeli Liverpool pada harga £35 juta.
Bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand baru-baru ini mengkritik nilai harga pemain England yang dianggap terlampau mahal.
Ferdinand merupakan pemain pertahanan yang termahal di England apabila menyertai Manchester United dengan nilai £29.1 juta pada 2002.