Tajikistan pasukan kedua tempah tiket ke Piala Dunia B-17 2019

Bernama
September 30, 2018 00:18 MYT
Tajikistan akan menentang pemenang perlawanan suku akhir keempat di antara juara dua kali, Korea Selatan dan India pada aksi separuh akhir di Stadium MBPJ, Khamis ini. - Bernama
Tajikistan menjadi pasukan kedua mengesahkan tiket ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) setelah menewaskan juara dua kali, Korea Utara 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir kedua Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini malam ini.
Perlawanan tersebut terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, di sini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Tajikistan akan mengiringi Jepun ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan.
Terdahulu, Jepun mara ke separuh akhir setelah menang tipis 2-1 ke atas juara dua kali, Oman, pada aksi suku akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang tadi.
Berdasarkan format kejohanan, empat pasukan yang mara ke separuh akhir layak beraksi pada Piala Dunia B-1.
Pada aksi malam ini, Tajikistan mendahului perlawanan pada minit ke-13 hasil rembatan kencang Rustam Soirov setelah mendapat hantaran jauh Amadoni Komolov dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Sebaik sahaja perlawanan bersambung, penguasaan permainan jelas ditunjukkan oleh Korea Utara menerusi beberapa percubaan berbahaya dan hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi jaringan Kim Jin Hyok.
Gol berkenaan, bagaimanapun, tidak dikira pengadil kerana pemain berkenaan berada pada kedudukan ofsaid sewaktu menjaringkan gol.
Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil menerusi percubaan menarik dari luar kotak penalti oleh Ri Hun pada minit ke-69 yang tepat menerjah sebelah kiri pintu gol Tajikistan, namun tiada tambahan gol pada aksi penuh perlawanan dan memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Tajikistan akan menentang pemenang perlawanan suku akhir keempat di antara juara dua kali, Korea Selatan dan India pada aksi separuh akhir di Stadium MBPJ, Khamis ini.
Perlawanan suku akhir keempat di antara Korea Selatan dan India akan berlangsung di venue yang sama esok.
-- BERNAMA
#B-17 #bola sepak #Korea Utara #Piala Dunia #Tajikistan
;