T-Team ikat dua pemain kebangsaan Uzbekistan
Bernama
Disember 2, 2014 17:44 MYT
Disember 2, 2014 17:44 MYT
Pasukan berstatus kelab, T-Team mengikat dua pemain kebangsaan Uzbekistan bagi menghadapi kempen bola sepak Liga Perdana musim depan.
Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata mereka adalah penyerang Farhod Tadjiyev dan pemain tengah Sadriddin Abdullaev, masing-masing berusia 28 tahun.
Katanya kontrak pemain tersebut adalah selama setahun dan mereka dijangka tiba di negeri ini pada minggu depan dan terus menjalani sesi perkenalan bersama-sama pemain.
"Kita yakin kedua-dua pemain import tersebut akan mencapai keserasian dan membantu T-Team kembali semula ke saingan Liga Super 2016 nanti," katanya.
Beliau berkata pihaknya masih mencari seorang lagi pemain import sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain import Jumaat ini.
T-Team tersingkir ke Liga Perdana musim depan selepas menamatkan persaingan Liga Super musim ini di kedudukan ke-11.
Dalam pada itu, Mohd Syahrizan berkata hasrat T-Team untuk menggunakan khidmat jurulatih dari Indonesia tidak kesampaian kerana jurulatih terbabit menarik diri.
Dengan perkembangan terbaru ini, katanya T-Team telah beralih arah untuk mencari jurulatih tempatan sahaja.