Sze Fei-Nur Izzuddin tonjol aksi padu sebelum bergelar juara Terbuka Artik

Khalis Khadir
Oktober 13, 2024 20:55 MYT
Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan aksi konsisten dengan menunjukkan semangat juang tinggi apabila menyamakan mata 19-19 sebelum menang 21-19 pada set ketiga. - Yang Shaochen via Facebook Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berada dalam kelas tersendiri selepas menundukkan pasangan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada perlawanan akhir Terbuka Artik di Finland pada Ahad.
Dalam perlawanan berlangsung sengit di Vantaan Energia Areena itu, pasangan negara yang di kedudukan kelapan dunia itu dilihat belum cukup 'panas badan' apabila mudah ditewaskan dengan 15-21 pada set pertama.
Mereka kemudian berjaya memberikan tentangan sengit pada set kedua untuk melakar kemenangan 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke permainan penentuan.
Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan aksi konsisten dengan menunjukkan semangat juang tinggi apabila menyamakan mata 19-19 sebelum melakar kemenangan 21-19.
Ia cukup bernilai untuk membolehkan mereka ‘membalas dendam’ ke atas Astrup-Rasmussen selepas tewas 19-21, 17-21 di peringkat suku akhir Masters Malaysia pada Mei lalu dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasangan itu.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM142,282.
Gandingan negara yang keluar dari naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 1 September lalu itu sebelum ini menjuarai Terbuka Jepun dan Terbuka China.
#Terbuka Artik #Goh Sze Fei #nur izzuddin rumsani #Denmark #Finland
;