Sze Fei-Nur Izzuddin melonjak empat tangga, kini ranking kelapan dunia
Bernama
September 24, 2024 18:39 MYT
September 24, 2024 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani hari ini kembali menghuni kelompok 10 terbaik dunia, selepas merangkul gelaran juara Terbuka China pada 22 Sept.
Berdasarkan kemas kini ranking dunia terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Sze Fei-Nur Izzuddin naik empat anak tangga untuk berada di ranking kelapan dunia.
Bagaimanapun, pasangan beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih belum beraksi pada kejohanan Jelajah Dunia selepas meraih gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 susulan kecederaan Wooi Yik, kekal sebagai gandingan terbaik negara dengan menghuni ranking kelima dunia.
Pasangan China Liang Wei Keng-Wang Chang kekal berada di ranking pertama dunia acara beregu lelaki meskipun tewas di pusingan 16 terbaik Terbuka China.
Sementara itu, pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia, turun dua anak tangga untuk menghuni ranking kelima dunia, selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka China.
Zii Jia yang sebelum ini berada di tangga ketiga dunia, kini dipintas pemain Denmark Anders Antonsen yang berada di ranking ketiga dan pemain Jepun Kodai Naraoka (keempat).
Dalam acara beregu campuran pula menyaksikan pasangan profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, naik dua anak tangga daripada kedudukan ke-12 ke kelompok 10 terbaik dunia selepas muncul naib juara Terbuka China, manakala gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada di ranking kesembilan dunia.
Dalam kategori perseorangan wanita, kedudukan ranking pemain profesional negara Goh Jin Wei terus jatuh dan kini berada di ranking ke-37 dunia, selepas tumbang di pusingan pertama Terbuka China.
Sementara itu, kedudukan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah kekal di kedudukan kelapan dunia.
-- BERNAMA