Sze Fei-Nur Izzuddin disaran lebih selektif pilih kejohanan - Razif
Bernama
Januari 20, 2025 22:45 MYT
Januari 20, 2025 22:45 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu nombor satu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani disaran supaya hanya mengambil bahagian dalam kejohanan peringkat tertinggi yang berstatus sekurang-kurangnya Super 750.
Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek berkata gandingan profesional itu sudah berada pada tahap yang baik sehingga muncul wakil pertama negara meraih gelaran musim ini menerusi kejayaan pada Terbuka India 2025 (Super 750) di New Delhi, semalam.
"Sze Fei-Nur Izzuddin punya tahap sepatutnya beraksi pada Super 750 dan lebih tinggi sahaja. Saya lihat semakin tinggi tahap kejohanan, prestasi mereka semakin baik.
"Mereka mesti memilih kejohanan untuk disertai secara teliti bagi mengekalkan prestasi dan kita harap gandingan itu akan berjaya," katanya kepada Bernama hari ini.
Pada aksi final di Kompleks Sukan Indira Gandhi, Sze Fei-Nur Izzuddin menumpaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-15, 13-21, 21-16.
Pencapaian itu juga menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin menamatkan kemarau 15 tahun negara tanpa sebarang kejuaraan beregu lelaki di Terbuka India selepas kemenangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2010.
Razif berkata tindakan lebih selektif dalam memilih kejohanan untuk disertai termasuk mengehadkan kepada dua penampilan setiap bulan penting buat pasangan nombor dua dunia itu demi menyimpan tenaga dan mengelak daripada risiko kecederaan.
"Prestasi pemain bukannya boleh berterusan sehingga tiga atau empat kejohanan (sebulan). Sebagai manusia, kita hanya boleh main satu hingga dua, kemudian kena rehat seketika.
"Tiga atau empat kejohanan bukan tak boleh tetapi lebih sesuai bagi pemain di peringkat pembangunan. Memandangkan mereka sudah capai tahap tertinggi, Sze Fei-Nur Izzuddin kena lebih selektif, dengan itu mereka dapat pulih dan berada dalam keadaan terbaik," katanya.
Dalam pada itu, pemenang gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 berkata gandingan itu juga berpotensi merampas kedudukan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen sebagai pasangan nombor satu dunia tidak lama lagi.
Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Badminton Dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin kini mengumpul 85,916 mata di belakang naib juara Kejohanan Dunia 2023 itu yang memiliki 95,003 mata.
Sekiranya Sze Fei-Nur Izzuddin mengekalkan momentum ketika ini, Razif tidak menolak kemungkinan mereka memiliki ramuan untuk menjuarai kejohanan badminton tertua di dunia iaitu All England bagi edisi 2025 yang dijadual berlangsung di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.
-- BERNAMA