Syria gambaran awal kekuatan Harimau Malaya

Sinar Harian
Januari 7, 2024 08:15 MYT
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi kempen Piala Asia 2023 di Qatar. - Foto FAM
PERLAWANAN persahabatan menentang Syria pada Isnin ini akan menjadi gambaran kepada tahap kemampuan pasukan negara sebelum memulakan aksi Piala Asia pada 16 Januari ini.
Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, perlawanan menentang pasukan di ranking ke-91 dunia itu merupakan cerminan kepada kualiti dan persembahan yang bakal diperagakan pasukan negara sebelum perlawanan sebenar.
Malah, beliau juga menyifatkan Harimau Malaya perlu melakar kemenangan ke atas Syria sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan sebelum bertemu Jordan pada perlawanan pertama Kumpulan E.
"Untuk permulaan, kemenangan penting untuk memastikan pasukan negara berada pada mentaliti terbaik sebelum bertemu Jordan.
"Selalunya perlawanan persahabatan sangat penting kerana itu cerminan apa yang kita akan buat pada perlawanan sebenar di Piala Asia.
"Syria pun berada di ranking yang tak jauh daripada Jordan dan Bahrain, jadi ini adalah 'carbon copy' kepada game sebenar," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Skuad negara hanya akan menghadapi satu perlawanan persahabatan menentang Syria pada Isnin selepas Arab Saudi membatalkan perlawanan yang sepatutnya dilangsungkan lebih awal.
Selepas perlawanan menentang Syria, skuad negara akan menghadapi ujian sebenar apabila menyingkap tirai Piala Asia bertemu Jordan pada 16 Januari.
Skuad kendalian Kim Pan-gon itu kemudiannya akan bertemu Bahrain pada 20 Januari dan menentang Korea Selatan lima hari kemudian.
Zainal Abidin yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, Pan-gon sudah tentu akan menghadapi kesukaran untuk melakukan pesiapan rapi kerana hanya mengharungi satu perlawanan persahabatan.
Namun, beliau berkata, ia bukan alasan sebaliknya pasukan negara perlu cuba mengatasi perkara tersebut dan menggunakan sebaik mungkin aksi tunggal bertemu Syria itu.
"Bagi saya di saat akhir ini memanglah kita akan terasa, tetapi kita tidak boleh bagi alasan. Apa yang penting fokus sepenuhnya menentang Syria ini.
"Walaupun sedikit terjejas persiapan dengan pembatalan aksi persahabatan menentang Arab Saudi, namun pasukan negara perlu bijak mencari cara mengatasinya. Apa yang penting jangan jadikan ia satu masalah kepada pasukan," katanya. - Sinar Harian
#harimau Malaya #Piala Asia #Kim Pan-gon #Zainal Abidin Hassan
;