Syed Saddiq akui permintaan TMJ buat beliau 'kurang selesa'
Hasimi Muhamad
April 23, 2019 22:21 MYT
April 23, 2019 22:21 MYT
Beberapa permintaan yang dibuat oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat Menteri Belia dan Sukan itu berasa 'kurang selesa'.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Muar itu pada sidang media sempena Setahun Pakatan Harapan (PH) di kementeriannya, hari ini.
Antara permintaan tersebut, menurut Syed Saddiq, adalah Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ mengarahkan membatalkan perlawanan antara lagenda tinju Filipina Manny Pacquiao menentang juara bertahan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse, pada saat-saat akhir.
Perlawanan itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, pada Julai tahun lalu.
"Permintaan ini membuat saya tidak selesa tetapi saya terpaksa sampaikan keputusan yang saya tak dapat tunaikan, saya perlu berpegang dengan prinsip saya.
"Ada tuntutan dan perintah khusus untuk (perlawanan) dibatalkan. Tanya penganjur. Tanya Pacquiao sendiri. Boleh juga tanya Datuk Zaitun Othman," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungannya dengan TMJ selepas Tunku Ismail dilihat antara pihak yang lantang mengkritik Syed Saddiq.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, pembatalan perlawanan tersebut boleh menyebabkan krisis diplomatik dengan Filipina.
"Permintaan untuk pembatalan minit terakhir akan mendatangkan isu diplomatik kerana enam menteri termasuk Presiden Filipina juga datang (untuk menyaksikan perlawanan).
"Puluhan juta dolar dalam pelaburan akan rugi kerana ia disiarkan kepada lebih 100 saluran langsung di seluruh dunia," katanya.
Katanya, beliau bersama Zaitun, yang merupakan Pesuruhjaya Sukan, turut mengadap TMJ bagi menjelaskan mengapa mereka tidak dapat membatalkan perlawanan itu.
"Zaiton dan saya pergi berjumpa dengannya. Kita perlu bersikap sopan dan jelaskan pada beliau," tambahnya.
#batal perlawanan
#kurang selesa
#Lucas Matthysse
#Manny Pacquiao
#Pakatan Harapan
#permintaan
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#tinju
#TMJ
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#WBA