Syahmi Safari sedia keluar dari bayang-bayang
Bernama
November 14, 2023 21:20 MYT
November 14, 2023 21:20 MYT
PETALING JAYA: Pemain pertahanan negara, Muhammad Syahmi Safari merasakan sudah tiba masanya untuk beliau 'merampas' tempat dan mengukuhkan nama dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.
Menjelang aksi pertama Kumpulan D kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan Khamis ini, Muhammad Syahmi atau lebih mesra disapa Syahmi Safari berkata beliau akan membalas kepercayaan dengan baik sekiranya diberikan peluang.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 25 tahun itu berkata setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu pasukan meraih kejayaan.
"Rasanya setiap pemain pun akan bagi 100 peratus terutama sekali bagi meningkatkan prestasi individu dan secara tak langsung (perkara itu) akan meningkatkan prestasi pasukan juga," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Syahmi Safari yang merupakan bekas pemain Selangor FC antara pilihan utama di bahagian pertahanan, namun lebih kerap menjadi pilihan kedua ketua jurulatih Kim Pan Gon sejak pengendali dari Korea Selatan itu mengambil alih skuad kebangsaan.
Sementara itu, mengulas mengenai aksi menentang Kyrgyzstan, beliau berkata barisan pertahanan perlu berwaspada dengan kemampuan skuad bimbingan Stefan Tarkovic itu melakukan serangan pantas di bahagian sayap kanan dan kiri.
"Kami perlu lebih bersedia kerana pusingan kelayakan ini sangat penting terutama dari segi (menaikkan) ranking dan layak automatik ke Piala Asia," katanya.
Mengulas mengenai moral pasukan ketika ini, beliau berkata semua dalam keadaan baik dan para pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap sesi latihan.
Malaysia akan menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional di Bukit Jalil sebelum berkunjung ke Taiwan untuk aksi kedua Kumpulan D menentang tuan rumah pada 21 Nov ini.
Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia dijadual bertemu Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan, masing-masing pada 21 dan 26 Mac, Kyrgyzstan di gelanggang lawan (6 Jun) dan bertemu Taiwan (11 Jun) di Bukit Jalil.
-- BERNAMA