Syafiq tidak menyangka bergelar juara dunia (Video)

Syafique Shuib
Disember 3, 2012 05:47 MYT
Setahun yang lalu, pemain boling kebangsaan Syafiq Ridhwan Abdul Malek tidak tahu menahu mengenai Kejohanan Piala Dunia AMF.
Namun, hari ini beliau berjaya mencatat sejarah sebagai pemain Malaysia pertama yang dapat merangkul piala sulung AMF di kejohanan yang diadakan Wroclaw, Poland, Sabtu lepas.
“Tiada banyak pendedahan mengenai World Cup di kalangan belia jadi kami tidak tahu mengenai pertandingan ini. Saya hanya tahu mengenai ini tahun lepas. Jadi sasaran saya di pertandingan ini adalah untuk menjadi di kalangan lapan yang terbaik. Apabila saya memenangi Terbuka Antarabangsa Taiwan tiga minggu lepas, saya mahu menjadi di kalangan tiga teratas."
“Namun setelah 36 pusingan, saya berjaya untuk memasuki peringkat tiga teratas. Setelah itu saya tekad untuk terus mara dan memberikan yang terbaik,” kata pemuda berusia 26 tahun.
Andres Gomez dari Colombia dan Marshall Kent dari Amerika Syarikat merupakan pesaing Syafiq ketika stepladder finals.
“Pusingan pertama bersama Gomez amat sengit. Saya tewas di pusingan pertama sebelum bangkit di pusingan kedua. Semasa pusingan ketiga, saya tidak memberi beliau sebarang peluang,” tambah Syafiq.
Beliau menewaskan Gomez dengan markah 234-236, 224-201 dan 258-213 dan bertemu Kent di pusingan akhir.
“Kent melakukan pukulan strike pada frame pertama hingga frame kelima. Saya rujuk kepada jurulatih saya dan beliau suruh saya bermain sebaik mungkin. Saya ikuti nasihat beliau dan mencorakkan permainan saya sendiri. Sebelum membuat sebarang balingan, saya sudah sudah ada strategi. Selepas itu saya akan lihat reaksi pin sebelum melakukan perubahan dalam balingan saya. Tidak terlintas langsung saya harus membuat balingan strike hanya kerana lawan bermain dengan baik,” kata beliau.
Syafiq akhirnya muncul juara dengan markah 236-235 dan 237-211.
BANGGA: Cheah bangga dengan pencapaian Syafiq
Menurut jurulatih beliau Holloway Cheah, Syafiq berkeyakinan tinggi meskipun berhadapan saingan sengit dari Gomez dan Kent.
“Beliau sering memberitahu saya yang beliau boleh menang. Namun, pemain-pemain yang mempunyai fikiran sebegini sering memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya tidak menghalang untuk beliau berfikir begitu kerana saya juga yakin beliau boleh menang,” kata Cheah.
Cheah berpendapat bahawa Syafiq amat matang dan memuji ketahanan mentalnya selain sangat tenang.
“Dia adalah seorang pemain yang amat baik dan berkeyakinan tinggi. Seorang jurulatih pernah menegur beliau ‘menang kalah, kamu adalah seorang juara dunia’ dan itu terus menambah tahap keyakinan beliau,” tambah Cheah.
SHALIN:Bukan mudah untuk memenangi World Cup
Kemenangan Syafiq juga menambat pujian dari pemain boling Shalin Zulkifli, yang turut gembira menyambut kepulangan pasukan kebangsaan dari Poland.
Shalin merupakan naib juara di kejohanan yang sama bagi kategori wanita pada tahun 1996 Belfast, Ireland.
“Bukan mudah untuk menjuarai World Cup kerana formatnya yang panjang berbanding kejohanan lain seperti Kejohanan Dunia (World Championships). Ini adalah antara pertandingan yang berprestij.
Saya tidak memberi sebarang nasihat kecuali kata-kata semangat sebelum beliau berangkat. Yang kelakarnya, beliau juga tidak tahu tentang World Cup ini,” kata Shalim sambil tertawa. “Namun ia amat membanggakan untuk seorang anak tempatan untuk mengungguli kejuaraan ini.”
#AMF World Cup #shalin zulkifli #Syafiq Ridhwan Abdul Malek