Syafiq ingatkan rakan sepasukan jangan lepaskan peluang ke Piala Asia

Bernama
Jun 13, 2022 17:29 MYT
Syafiq berkata Malaysia telah menunggu lama untuk kembali membuat penampilan di pentas kejohanan bola sepak berprestij Asia itu. - Instagram @syafiq_ahmad20
PETALING JAYA: Malaysia tidak boleh tercicir mata ketika berdepan Bangladesh pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 malam esok, kata penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata pertembungan di Stadium Nasional di Bukit Jalil esok adalah peluang keemasan buat skuad Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023.
Beliau berkata Malaysia telah menunggu lama untuk kembali membuat penampilan di pentas kejohanan bola sepak berprestij Asia itu dan jika pasukan negara terlepas peluang tersebut ia akan menjadi satu kerugian besar.
"Kita dah terlepas untuk dapatkan mata dalam perlawanan lepas (lawan Bahrain) dan ini (aksi menentang Bangladesh) adalah peluang terbaik kita untuk layak ke Piala Asia kerana mempunyai kelebihan bermain pusingan kelayakan sebagai tuan rumah.
"Jadi kita perlu lupakan perlawanan lepas dan tengok ke hadapan, ini peluang kita layak secara merit," katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Selepas dua perlawanan, Bahrain di kedudukan teratas Kumpulan E dengan enam mata, Malaysia dan Turkmenistan masing-masing mengumpul tiga mata di tempat kedua dan ketiga manakala Bangladesh tercorot tanpa mata.
Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023 dengan penampilan terakhir Malaysia dalam kejohanan berprestij itu adalah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah lebih 40 tahun skuad negara gagal mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.
Berdasarkan ranking lima naib juara terbaik selepas dua perlawanan, Malaysia berada di kedudukan terakhir; Thailand, Kyrgyzstan dan India di posisi teratas dengan mengumpul enam mata manakala Filipina (empat mata) di tempat keempat.
"Keputusan dalam kumpulan lain kita perlu waspada juga tetapi apa yang paling penting adalah perlawanan kita sendiri, bila kita menang insya-Allah kita akan layak ke peringkat seterusnya," kata Muhammad Syafiq.
Sementara itu, pemain berusia 26 tahun itu yang hanya masuk sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan lepas, berazam membuktikan kemampuannya dalam membantu pasukan mencipta kemenangan sekiranya terpilih dalam kesebelasan utama esok.
Dalam pada itu, mengulas mengenai video tular seorang peminat kecil menangis di stadium selepas pasukan negara tewas 1-2 kepada Bahrain Sabtu lepas, Muhammad Syafiq berkata beliau dan rakan sepasukan akan menebus kekecewaan kekalahan itu untuk semua rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
#Piala Asia #harimau Malaya #Syafiq Ahmad #skuad kebangsaan
;