Sweden tawan dunia seperti yang saya lakukan - Ibrahimovic
Astro Arena
Jun 29, 2018 05:59 MYT
Jun 29, 2018 05:59 MYT
ZLATAN Ibrahimovic berkata dia sangat gembira melihat Sweden melangkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia Russia sambil menyatakan bahawa negara itu mengharungi detik seperti yang pernah dilakukannya.
Ibrahimovic, 36, bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Euro 2016 dengan menjaringkan 62 gol dalam 116 penampilan untuk negaranya.
Ada cadangan mengaitkan penyerang itu akan kembali beraksi untuk Piala Dunia, namun kelibatnya terlepas pandang dengan Sweden jelas tidak merindui kehilangan pemain bintang itu apabila menjuarai Kumpulan F untuk mara ke peringkat kalah mati.
Justeru, Ibrahimovic gembira dapat melihat negaranya bermain dengan baik di pentas dunia.
"Sebelum Piala Dunia, saya mengatakan mereka akan pergi jauh dan mungkin menang," kata penyerang LA Galaxy itu semalam.
"Saya sangat gembira, bangga menjadi orang Sweden, memandu sambil mengibarkan bendera Sweden. Oleh itu, kita mendengarnya.
"Saya telah menawan dunia, kini tiba masanya untuk Sweden pula."
Sweden meraih kemenangan ke atas Korea Selatan dan Mexico tetapi tewas kepada Jerman di peringkat kumpulan untuk anak buah Janne Andersson itu menempah pertemuan dengan Switzerland dalam pusingan 16, Selasa depan.
Ibrahimovic berkata Sweden telah membuktikan mereka akan menjadi lawan yang sukar buat mana-mana pasukan.
"Sesiapa yang menentang Sweden akan menghadapi tempoh yang sukar dan saya fikir semua orang tahu," katanya.
"Mereka telah menunjukkannya, mereka tahu dan mereka akan teruskan. Ini permainan yang sukar, ia adalah pertembungan Eropah, jadi mari lihat.
"Mereka telah menentang dua pasukan bukan dari Eropah dan mereka mengalahkan kedua-duanya dan mereka tumpas kepada pasukan Eropah, Jerman, tetapi saya fikir ia tidak penting di sini kerana hanya menang atau kalah akan diambil kira.
"Bagaimanapun, mereka akan beraksi baik, kami semua menyokong mereka."