Susulan digantung, atlet Rusia sertai Olimpik Pyeongchang sebagai atlet neutral

Agensi
Disember 6, 2017 08:52 MYT
Presiden IOC, Thomas Bach, mengumumkan penggantungan ke atas atlet Rusia pada sidang media di Lausanne, Switzerland, 5 Disember, 2017. REUTERS
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan untuk membenarkan atlet Rusia bersaing di Sukan Olimpik Pyeongchang tahun hadapan sebagai atlet neutral.
Menurut IOC, beberapa atlet Rusia akan dijemput bersaing sebagai ‘Atlet Olimpik Dari Rusia' (OAR) tanpa bendera negara atau lagu kebangsaan mereka.
Ini berikutan kes doping terancang pada Sukan Sochi 2014, menyaksikan penggantungan ahli IOC dan jawatankuasa Olimpik Rusia Alexander Zhukov, serta mengharamkan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Vitaly Mutko dari Sukan Olimpik seumur hidup.
Mutko adalah menteri kesukanan pada 2014 dan juga ketua jawatankuasa penganjur bagi Piala Dunia akan datang.
IOC juga mengenakan denda AS$15 juta untuk Jawatankuasa Olimpik Rusia bagi membayar siasatan ke atas kes berkenaan dan kerja anti-doping di masa depan.
Bagaimanapun, penggantungan terbabit boleh dicabar di Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum ini mengatakan adalah memalukan untuk Rusia bersaing tanpa membawa simbol negara.
#Alexander Zhukov #atlet #atlet neutral #Atlet Olimpik Dari Rusia #bendera #IOC #Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa #logo #OAR #penggantungan #Rusia #Sukan Olimpik Pyeongchang #Vladimir Putin
;