Suspek pecah masuk rumah pemain Selangor FC turut sasar kediaman lain

Bernama
Jun 8, 2024 14:10 MYT
Ahmad Khuzaimi kehilangan motosikal, empat beg pelbagai jenama, dan pasport antarabangsanya. - Gambar/ IG Ahmad Khuzaimi Piee
KAJANG: Suspek yang memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee di Shah Alam baru-baru ini dipercayai tidak hanya menyasarkan kediaman atlet itu.

Ringkasan AI
  • Suspek yang memecah masuk rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee di Shah Alam, juga mengintai beberapa rumah lain sebelum memilih untuk merompak rumah tersebut.
  • Menurut Ketua Polis Selangor, rumah Ahmad Khuzaimi bukanlah sasaran khusus kerana dia seorang pemain bola sepak, tetapi suspek melihatnya sebagai sasaran yang mudah kerana tiada orang di dalam rumah pada ketika itu.
  • Kejadian tersebut berlaku pada 22 Mei di mana Ahmad Khuzaimi kehilangan motosikal, empat beg pelbagai jenama, dan pasport antarabangsanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata berdasarkan siasatan pihaknya, suspek turut mengintai beberapa rumah lain untuk dimasuki sebelum memilih untuk merompak rumah Ahmad Khuzaimi.
"Rumahnya bukan menjadi target sebab pemiliknya pemain bola sepak, ia hanya kebetulan sahaja. Tidak ada kena-mengena dengan isu pemilik rumah (yang merupakan) pemain bola sepak.
"Suspek fikir rumah pemain bola sepak terbabit kurang risiko berbanding rumah lain apabila dilihat tiada sesiapa di dalam rumah, maka itu sebab mereka pecah masuk kediaman terbabit," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Taman Angkat Aman Wanita (AMANITA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor 2024 di Taman Rakan, Kajang, hari ini.
Pada 22 Mei lepas, rumah Khuzaimi dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor.
Ekoran kejadian itu, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.
-- BERNAMA
#Selangor FC #Ahmad Khuzaimi Piee #pecah masuk #identiti suspek
;