Suresh bakal uji panahan di kejohanan simulasi bulan depan
Bernama
September 2, 2020 05:28 MYT
September 2, 2020 05:28 MYT
Selepas kali terakhir bersaing dalam aksi kompetitif pada Kejohanan Memanah Kebangsaan Mac lalu, atlet memanah recurve para negara, S. Suresh berpeluang mengembalikan prestasi panahannya di kejohanan simulasi bersama atlet memanah kebangsaan, bulan depan.
Jurulatih kebangsaan Marzuki Zakaria berkata kejohanan yang bakal diadakan di Lapang Sasar Memanah Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu adalah antara kejohanan persediaan skuad memanah para dan skuad memanah negara menjelang temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, tahun depan.
"Kejohanan simulasi ini adalah bagi memastikan prestasi atlet para dan memanah kebangsaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik kerana kita sudah lama tidak ada kejohanan yang boleh menguji keupayaan mereka.
"Pada masa sekarang, hanya Suresh akan terlibat manakala atlet compound para, Wiro Julian belum ada lagi. Kita akan mohon kepada Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) untuk menganjur kejohanan sama bagi kategori compound," katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN, di sini, pada Rabu.
Sehingga kini, hanya Suresh dan Wiro sudah menempah tiket ke temasya sukan di Tokyo 2020 selepas meraih kedudukan podium pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Belanda dan Kejohanan Kelayakan Benua Asia 2019 di Thailand.
Selain kejohanan simulasi itu, skuad negara juga dijangka menyertai Kejohanan Prasukan Para Sukma pada November dan Kejohanan Memanah Kebangsaan, Disember ini yang dijadualkan berlangsung di venue Sukan Malaysia iaitu Pusat Memanah, Arena Mas Taman Impian Emas, Johor Bahru.
"Tujuan kita sertai kedua-dua kejohanan tersebut adalah bagi memastikan atlet memanah para boleh mengembalikan semangat berlawan selepas lama berehat daripada pertandingan kompetitif selain memastikan mereka sentiasa bersedia," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Marzuki berkata skuad negara masih berpeluang merebut sekurang-kurangnya satu lagi slot ke Sukan Paralimpik Tokyo yang akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 5 Sept tahun depan.
-- BERNAMA
#atlet
#atlet para
#kejohanan
#Marzuki Zakaria
#memanah
#Olimpik
#recurve
#S Suresh
#sukan
#Sukan Paralimpik