Surat layang: FAM mahu buat laporan polis

Bernama
April 1, 2024 23:50 MYT
Hamidin juga menepis dakwaan FAM tidak telus dalam proses pemberian tender melibatkan projek Pusat Latihan Kebangsaan yang merupakan antara perkara utama dibangkitkan dalam 'surat layang' itu. - Gambar Bernama
SUBANG JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran 'surat layang' yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu baru-baru ini.
Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya juga bercadang untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti sumber 'surat layang' yang dikirim melalui e-mel kepada pihak berkepentingan termasuk media itu.
"Kalau hari-hari sampai 'surat layang' letih juga, jadi kita juga akan kerjasama dengan SKMM (mencari) di mana sumber e-mel itu datang dan exco setuju untuk buat laporan polis.
"Jika ada perkara dalam 'surat layang' itu yang suspicious kita akan bawa ia kepada Tan Sri Aseh Che Mat selaku Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM," katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-60 di sini, hari ini.
Pada masa sama, Hamidin juga menepis dakwaan FAM tidak telus dalam proses pemberian tender melibatkan projek Pusat Latihan Kebangsaan yang merupakan antara perkara utama dibangkitkan dalam 'surat layang' itu.
"Dari segi kewangan kita buat ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) FAM dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), apa-apa saja kita buat melibatkan kewangan akan masuk jawatankuasa tetap masing-masing," katanya.
Mengulas lanjut, Hamidin mengakui sedih dengan pelbagai dakwaan dalam 'surat layang' itu, selain menyifatkan ia sebagai tomahan jahat dan berbentuk serangan peribadi ke atas kepimpinannya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman enggan mengulas panjang mengenai pelbagai dakwaan salah guna kuasa dibuat terhadapnya.
"Saya cuma mahu memaafkan segala tomahan dan fitnah itu," katanya sambil menahan sebak.
Semalam, tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.
Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu melibatkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.
Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata FAM menyokong usul mencadangkan supaya badan induk itu memberi sepenuh sokongan kepada Presiden FIFA Gianni Infantino bagi membangkitkan isu perkauman dalam bola sepak sebagai agenda utama pada Kongres FIFA Kali Ke-74 di Bangkok, Mei depan.
Selain itu, Hamidin berkata Persatuan Bola Sepak Negeri Johor Darul Ta'zim diumumkan sebagai pemenang Anugerah Ahli Gabungan Terbaik FAM bagi tahun 2023 dengan anugerah itu merupakan kali pertama diperkenalkan pada kongres hari ini.
-- BERNAMA
#FAM #serangan aperibadi #laporan polis #agenda utama
;