Supercopa de Espana: Ancelotti tempelak Real Madrid khianati taktikalnya

Astro Arena
Januari 13, 2025 11:10 MYT
Aksi Kylian Mbappe (kanan) dan penjaga gol Barcelona Wojciech Szczesny (kiri) ketika perlawanan Supercopa de Espana antara Real Madrid dan Barcelona di Stadium King Abdullah, Jeddah, Arab Saudi, 12 Jan 2025. (Foto AP)
BARCELONA 5 REAL MADRID 2
Carlo Ancelotti menyelar persembahan Real Madrid ketika diaibkan 2-5 Barcelona dalam perlawanan akhir Supercopa de Espana sambil mendakwa pasukannya tidak bermain bola sepak.
Ancelotti menyaksikan barisannya ditumbangkan dengan mudah dalam pertemuan El Clasico itu sungguhpun Kylian Mbappe terlebih dahulu meletakkan Los Blancos di depan pada minit kelima pertemuan di King Abdullah Sports City, awal pagi tadi.
"Kami bertahan dengan teruk, ini yang melukakan kami dalam permainan, mereka menemui gol dengan cara yang mudah dan kami tidak bertahan dengan baik ketika berikan tekanan tinggi mahupun di blok rendah," kata pengurus itu sejurus perlawanan.
“Ketika rehat, saya sudah berpesan kami perlu cuba jelmakan rentak permainan kami kerana dalam babak pertama kami tidak bermain bola sepak, kami membuat hantaran jauh tetapi itu bukanlah ideanya.
"Ideanya adalah untuk bermain dan kami tidak melakukannya. Saya memberitahu mereka bahawa mereka boleh kalah dalam perlawanan tetapi tidak seperti corak permainan separuh masa pertama.
"Ini adalah satu malam yang buruk. Kami sedih seperti peminat kami. Ini merupakan satu kekecewaan, kami tidak boleh berselindung dan inilah bola sepak.
"Kadang-kadang anda boleh menang, dan kadang-kadang anda perlu belajar daripada kekalahan.
"Kami perlu melihat ke hadapan. Itu sahaja. Kami cuma perlu melihat ke hadapan."
#Supercopa de Espana #Real Madrid #barcelona #Carlo Ancelotti
;