Suntikan RM20 juta dalam belanjawan beri semangat baharu perkasa e-sukan

Bernama
Oktober 20, 2024 05:45 MYT
Nurul Azwa (belakang,lapan,kanan) bersama para pemenang pada penyampaian hadiah Malaysia Esports League 2024 di ESI Spacerubix. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Peruntukan RM20 juta menerusi Belanjawan 2025 dijangka dapat memperkasakan lagi pembangunan e-sukan secara menyeluruh termasuk menjayakan pembinaan sebuah stadium khusus untuk sukan itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated Nurul Azwa Mohd Rodzi berkata stadium e-sukan sudah lama dinantikan dan pihaknya sedang dalam perancangan untuk membangunkannya pada tahun depan.
"Menerusi dana yang diperuntukkan kita dapat mewujudkan sebuah pusat e-sukan yang lengkap termasuk bilik produksi serta kemudahan penginapan untuk kem latihan.
"Suntikan yang diterima dalam belanjawan ini bukan sahaja bagi pembangunan infrastruktur, tetapi juga memfokuskan kepada pembangunan bakat melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam e-sukan seperti kerjaya pengacara, jurulatih dan marsyal," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Esports League (MEL) 2024 di sini pada Ahad.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM20 juta untuk memperkasakan ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf e-sukan.
Sementara itu, majlis penyampaian hadiah hari ini menyaksikan pemenang kategori Liga Utama bagi PUBG Mobile menjadi milik Az Slumber dari Perak manakala Kedah Alpha menjuarai Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Bagi saingan Free Fire pula dimenangi Twenty One dari Melaka dan eFootball24 Mobile diraih Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar dari Johor.
Juara PUBG Mobile, MLBB dan Free Fire masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi manakala pemenang eFootball24 Mobile pula menerima trofi dan wang tunai RM5,000.
-- BERNAMA
#peruntukan #e-sukan #Belanjawan 2025 #Belanjawan25
;