Sumbangan RM10 juta kepada FAM adalah keperluan - Faizal Azumu
Amirrul Rabbani
Januari 22, 2022 19:33 MYT
Januari 22, 2022 19:33 MYT
IPOH: Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah menganaktirikan mana-mana persatuan sukan terutama dalam soal penyaluran bantuan dan kebajikan.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata justeru dana sumbangan RM10 juta yang disumbangkan kerajaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini adalah suatu keperluan.
Menurutnya ini kerana badan induk sukan bola sepak negara itu telah mengalami kekangan sumber kewangan selepas terjejas akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Jelas beliau kekangan sumber kewangan itu telah mengakibatkan FAM sukar untuk menjalankan operasi secara menyeluruh termasuk daripada sudut penganjuran liga-liga di peringkat akar umbi.
“KBS tidak menganaktirikan mana-mana sukan dan sebaliknya kita memberi perhatian kepada semua pihak.
“Berhubung peruntukan yang diterima FAM itu, ini kerana mereka menghadapi kesan buruk yang besar akibat COVID-19. Situasi FAM ini ibarat ‘besar periuk, besarlah keraknya’.
“Justeru FAM perlu dibantu. Dan begitu juga persatuan-persatuan sukan lain turut kita bantu. Namun kesemuanya dibantu mengikut kemampuan dan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Akademi Tunas Tambun Perak di Padang Awam Tanjung Rambutan, di Hulu Kinta, dekat sini pada Sabtu.
Pada Isnin, kerajaan mengumumkan dana sumbangan sebanyak RM10 juta kepada FAM sebagai cerminan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya berkata kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik bagi membantu perkembangan mutu bola sepak negara.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal menafikan dakwaan bahawa sumbangan kepada FAM itu menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk memotong peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada sukan-sukan lain meskipun prestasinya dilihat lebih cemerlang berbanding sukan bola sepak.
“Kerajaan menerusi KBS perlu berbelanja mengikut kemampuan. Itu yang sedang kami lakukan.
“Pastinya apa jua permasalahan kami sedang ambil perhatian yang serius dan akan memastikan ia dapat dirungkai secepat mungkin. Beri saya masa untuk selesaikannya,” jelas beliau.
Mengulas tentang program, Ahmad Faizal memberitahu seramai 150 peserta dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun telah menyertai sesi pemilihan untuk diserapkan ke dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Ujarnya objektif utama penganjuran program berkenaan adalah untuk menggilap bakat-bakat muda sebagai pelapis yang bakal mewarnai arena bola sepak tanah air.
#FAM
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Ahmad Faizal Azumu
#KBS
#Kementerian Belia dan Sukan
#sumbangan