Sumareh sah sertai Police Tero FC di Thailand
Bernama
September 7, 2020 22:49 MYT
September 7, 2020 22:49 MYT
Pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh sah beraksi di Liga Thailand bersama pasukan Police Tero FC, dalam musim baharu yang dijadual bermula Sabtu ini.
Menerusi laman rasmi Facebook kelab berkenaan, Police Tero FC mendedahkan bahawa Sumareh akan menyarung jersi bernombor 13 bagi memperkuatkan pasukan menjelang aksi pembukaan kempen 2020/2021.
Dengan pengumuman berkenaan, ia menamatkan teka-teki mengenai masa depan pemain kelahiran Gambia itu selepas beliau tidak hadir menjalani latihan bersama skuad Pahang bulan lepas.
"Police Tero FC mengesahkan mengikat Sumareh, pemain Malaysia-Gambia akan menyertai pasukan dan menambahkan kekuatan bagi saingan (liga) musim 2020/21 yang akan kembali bersambung pada 12 Sept.
"Sumareh akan memakai (jersi) nombor 13 untuk Police Tero FC dalam kempen Liga Thailand," menurut kelab berkenaan.
Sumareh beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersama Perlis sebelum berpindah ke Pahang dengan membuat 100 penampilan dan menghasilkan 22 gol bersama skuad Tok Gajah.
Ketika ini, dua pemain negara yang beraksi di Liga Thailand adalah Norshahrul Idlan Talaha yang menyertai kelab BG Pathum United manakala Dominic Tan bakal menjadi rakan sepelatih Sumareh di Police Tero FC.
-- BERNAMA