Sumareh sah pemain baharu skuad Harimau Selatan
Faris Danial Razi
Februari 9, 2021 18:28 MYT
Februari 9, 2021 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam selepas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kehadiran penyerang import argentina, Jonathan Herrera bagi persediaan menjelang aksi sepak mula Liga Malaysia 5 Mac depan.
Hari ini, Mohamadou Sumareh pula yang disahkan bakal menyarung jersi Juara Liga Super itu menerusi satu kenyataan video ringkas.
Video yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi JDT (@officialjohor), memaparkan pemain kelahiran Gambia itu akan mengenakan jersi nombor 13.
"Pemandu, tolong bawa saya ke kelab yang terbaik di Malaysia," jelas kenyataan menerusi video pengenalan Sumareh yang berdurasi 0:41 saat itu.
JDT pada masa sama mengucapkan selamat datang kepada Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama negara.
Sumareh, bekas pemain pasukan Pahang turut berterima kasih di atas peluang yang diberikan serta teruja untuk beraksi bersama pasukan Harimau Selatan.
Sebelum ini, Sumareh berhijrah ke liga Thailand bersama kelab Police Tero FC selama beberapa bulan selepas meninggalkan Pahang FA dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.