Sumareh hanya ikat kontrak enam bulan dengan Police Tero
Astro Arena
September 29, 2020 18:41 MYT
September 29, 2020 18:41 MYT
DESTINASI ke Thailand kelihatan akan menjadi persinggahan sementara buat penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, berdasarkan pendedahan terbaru pemain itu mengenai saga perpindahannya.
Pemain berusia 26 tahun itu akan menyertai kelab Liga 1 Thailand, Police Tero FC, dan sebelum berlepas ke negara Gajah Putih itu, Sumareh berkongsi mengenai masa depannya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Saya gembira kerana ini kali pertama saya bermain di luar Malaysia, dalam liga yang berbeza, jadi saya teruja untuk melihat apa yang akan menanti saya," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
"Mungkin saya akan berada selama enam bulan di sana untuk bermain separuh musim.
"Tetapi kita tidak tahu, tiada siapa yang tahu. Jika segala-galanya berjalan baik, mungkin saya akan kekal di sana.
"Perancangannya adalah untuk berada di sana selama enam bulan.
"Saya tidak boleh meramal masa depan. Buat masa ini, saya hanya menandatangani (kontrak) untuk jangka pendek selama enam bulan.
"Jika segala-galanya baik, saya mungkin akan berada di sana hingga penghujung musim.
"Saya tidak boleh duduk sahaja dan menantikan sehingga musim depan, kemudian bermula sebagai seorang pemain yang ketinggalan.
"Jadi, dengan perpindahan ke Liga Thailand sedang terbuka ketika ini, saya mahu mengambil peluang itu untuk ke sana dan kekal cergas supaya apabila saya kembali ke Malaysia, Saya hanya perlu meneruskannya dengan pasukan yang saya sendiri belum tahu.
"Oleh kerana itu saya menyertai Liga Thailand," katanya.
Pengesahan itu memberi bayangan bahawa pemain kelahiran Gambia berkenaan akan kembali ke kancah Liga Malaysia musim depan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tujunya selepas dikaitkan dengan dua pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim FC (JDT) dan Selangor.
Mengulas mengenai spekulasi itu, Sumareh menambah: "Buat masa ini, saya tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara ini. Fokus saya ketika ini adalah sedang teruja untuk ke Liga Thailand.
"Saya mahu memulakan perjalanan baru, jadi tidak ada apa untuk saya katakan ketika ini," katanya lagi.