Sultan Selangor, TMJ setuju perseteruan bola sepak kekal dalam padang

Sinar Harian
Oktober 2, 2024 05:50 MYT
Tunku Mahkota Ismail berangkat mengadap Sultan Selangor pada 1 Oktober 2024. - Facebook HRH Crown Prince of Johor
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersetuju semua pihak perlu memastikan perseteruan bola sepak kekal dalam padang sahaja.
Perkara itu dipersetujui Sultan Sharafuddin dan Tunku Mahkota Ismail dalam pertemuan pada Selasa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor semalam, Sultan Sharafuddin dan Tunku Mahkota Ismail juga menekankan perlu wujudnya perasaan saling hormat-menghormati serta perpaduan di luar padang.
“Sultan Selangor dan Pemangku Sultan Johor berkongsi pendapat tentang perpaduan dalam kalangan rakyat, profesionalisme di Malaysia dan kepentingan penyatuan Institusi Diraja untuk berkhidmat sebagai sebuah simbol negara,” menurut kenyataan itu.
Pada 19 Ogos, media melaporkan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail seolah-olah menyindir pasukan Selangor FC selepas skuad Gergasi Merah itu memenangi Piala Sultan Selangor pada Sabtu.
Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, kemenangan tersebut umpama syok sendiri selain menyifatkan piala tersebut tidak diiktiraf di negara ini. - Sinar Harian
#Sultan Selangor #tunku mahkota ismail #Selangor FC #JDT
;