Sultan Nazrin berkenan sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak
Bernama
November 19, 2023 13:14 MYT
November 19, 2023 13:14 MYT
TAIPING: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak bersama-sama hampir 10,000 peserta di Dataran Warisan di sini hari ini.
Turut berangkat, puteri baginda Raja Nazira Safya dan adinda Sultan Nazrin Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Turut serta, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin, barisan exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Larian yang bermula pada 7 pagi dan berakhir di Padang Esplanade itu diadakan sempena Hari Keputeraan baginda ke-67 yang disambut pada 3 Nov lepas dan turut disertai atlet negara.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta bagi kategori 15 kilometer (km) dan 10km manakala peserta kategori tetamu kehormat VVIP yang membabitkan jarak 3km dilepaskan oleh Raja Datuk Seri Yong Sofia, adinda Sultan Nazrin.
Semalam, dua lagi kategori telah dipertandingkan iaitu acara larian 7km bagi sekolah menengah dan Fun Run serta 3km bagi sekolah rendah yang menjadi satu daripada tarikan kerana larian melalui dalam kawasan Zoo Taiping dan mereka berpeluang melihat haiwan secara percuma.
Para pengunjung dan peserta hari ini turut disajikan dengan beberapa aktiviti persembahan termasuk tarian kebudayaan, pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia, demonstrasi tempur oleh Angkatan Tentera Malaysia dan demonstrasi payung terjun di sekitar Taman Tasik Taiping dan Padang Esplanade.
Setelah 10 tahun acara sama diadakan di daerah Kuala Kangsar, kali ini Sultan Nazrin memberi perkenan ia diadakan di Taiping.
Daerah Larut Matang dan Selama dipilih sebagai lokasi larian kali ini kerana Taiping bakal menyambut 150 tahun sebagai bandar warisan pada tahun hadapan dan acara larian sebagai promosi awal terhadap program yang akan berlangsung.
Peserta bukan sahaja berpeluang untuk melihat keunikan bandar Taiping malah mereka dapat melihat beberapa tempat bersejarah yang berada di sekitar selain berpeluang untuk mengetahui perkhidmatan, tempat, barangan atau makanan yang menjadi keistimewaan kawasan itu.
-- BERNAMA