Sultan Ibrahim perkenan TMJ bertanding Presiden FAM
Bernama
Februari 6, 2017 17:19 MYT
Februari 6, 2017 17:19 MYT
Harapan menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin hampir menjadi kenyataan.
Pertemuan 14 anggota gabungan FAM dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menyaksikan baginda berkenan mengizinkan TMJ bertanding jawatan Presiden FAM pada 25 Mac ini.
Kata putus itu diperoleh dalam pertemuan tertutup kira-kira sejam antara Sultan Ibrahim dan 14 anggota gabungan FAM itu di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Menurut jurucakap kumpulan itu, Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi, dengan perkembangan terbaru, beliau tidak nampak ada sebarang masalah untuk Tunku Ismail bertanding jawatan berkenaan.
"Baginda (Sultan Ibrahim) sebenarnya mahu melihat kesungguhan dan sokongan kami terhadap anakandanya untuk bertanding jawatan tersebut dan selepas melihat perkara berkenaan, baginda bersetuju.
"Kami juga anggap dengan keputusan ini, Tunku Ismail telah bersetuju bertanding kerana selama ini baginda sering menyatakan halangan menerima pencalonan itu kerana tidak mendapat perkenan ayahandanya," kata Mohd Yusof.
Mohd Yusof, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka berkata dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut menasihati anggota gabungan berkenaan agar tidak meletakkan tempoh tertentu kepada anakandanya untuk membawa pembaharuan dalam FAM.
"Baginda cuma mahu Tunku Ismail diberi masa membina semula organisasi tersebut dan nampaknya usaha kita selama beberapa bulan ini untuk melihat Tunku Ismail menerajui FAM kian menjadi kenyataan," katanya.
Wakil persatuan negeri yang hadir terdiri dari Melaka, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Perlis, Felda, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, wakil Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Persatuan Bola Sepak India Malaysia dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia manakala enam persatuan iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak dan Pulau Pinang tidak hadir.
Selain Tunku Ismail, tiga nama lain yang dicalon untuk jawatan Presiden FAM itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Aseh Che Mat.
Kongres FAM akan diadakan pada 25 Mac nanti dan senarai akhir calon akan dibentangkan kepada Exco FAM pada 20 Feb bagi menentukan calon yang layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepemimpinan untuk penggal 2017-2021.
-- BERNAMA
#JDT
#Johor Darul Ta'zim
#kongres pemilihan
#perkenan Sultan Johor
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Presiden FAM
#TMJ
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#yusoff mahadi