Sultan Ibrahim namakan semula 'Johor Cricket Academy Oval' sempena mendiang Dr Harjit

Bernama
Januari 14, 2021 05:14 MYT
'Johor Cricket Academy Oval' di Mutiara Rini dinamakan semula sebagai 'Dato Dr Harjit Singh Johor Cricket Academy Oval'. - Facebook Sultan Ibrahim
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menamakan semula 'Johor Cricket Academy Oval' di Mutiara Rini dekat sini kepada 'Dato’ Dr Harjit Singh Johor Cricket Academy Oval'.
Menurut hantaran dalam laman Facebook rasmi baginda dengan disertakan beberapa gambar, langkah itu sebagai menghargai jasa mendiang Dr Harjit sebagai tokoh yang banyak menyumbang dalam pembangunan sukan kriket di Malaysia dan Johor.
Sementara itu, Pemangku Presiden Majlis Kriket Johor Datuk Avinderjit Singh menyambut baik perkara berkenaan.
Beliau berkata Majlis Kriket Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan baginda mengabadikan nama mendiang Dr Harjit di akademi berkenaan.
"Beliau (Dr Harjit) adalah individu yang cukup berjasa kepada pembangunan sukan kriket dan kami semua akan sentiasa mengenang dan merinduinya," kata Avinderjit.
Dr Harjit, 70, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 20 Okt tahun lepas.
Sumber Facebook officialsultanibrahim
-- BERNAMA
#Johor Cricket Academy Oval #namakan semula #Kriket #Sultan Johor #Sultan Ibrahim #meninggal dunia #Facebook #Dato Dr Harjit Singh Johor Cricket Academy Oval #Harjit Singh #Majlis Kriket Johor #Avinderjit Singh #hargai jasa
;