Suku akhir sasaran skuad muda negara di Piala Thomas dan Uber

Bernama
September 11, 2021 06:14 MYT
Mohamad Norza ketika sidang media BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, 11 Sept, 2021. Turut hadir, Wong Choong Hann (kiri). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Dengan mempertaruhkan skuad berwajah baharu dibarisi pemain muda, Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 9 hingga 17 Okt ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata sasaran sama turut diletakkan kepada pasukan negara di kejohanan Piala Sudirman yang dijadual berlangsung di Vantaa, Finland bermula dari 26 Sept hingga 3 Okt ini.
Katanya apa yang menjadi fokus utama BAM adalah pengalaman berharga yang bakal ditimba barisan pemain muda negara dalam usaha badan induk itu menyiapkan skuad terhebat menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
“Seperti yang anda tahu, berdasarkan kita punya pengalaman di Olimpik baru-baru ini, kami serius untuk menyasarkan dua kelayakan untuk setiap acara di Olimpik,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini semalam.
"Kami (BAM) mahu mengambil cabaran itu sebab itu kita mahu memulakan dengan pasukan yang muda," kata Mohamad Norza yang optimis tiga kejohanan itu merupakan peluang terbaik untuk BAM menguji dan mengenal pasti potensi pemain muda negara.
BAM semalam mengeluarkan senarai nama skuad ke ketiga-tiga kejohanan itu yang menyaksikan purata umur bagi pasukan yang akan beraksi di Piala Sudirman adalah 22 tahun dengan pemain paling senior berumur 26 tahun iaitu pemain beregu campuran Cheah Yee See.
Bagi saingan Piala Thomas, purata umur pasukan adalah 23 tahun dengan lima pemain berusia 24 tahun manakala purata umur skuad ke Piala Uber adalah 21 tahun dengan kapten pasukan yang juga pemain beregu wanita Lee Meng Yean, 27, adalah pemain paling senior.
"Kalau kita tengok pasukan muda kita, Aaron Chiah-Soh Wooi Yik walaupun mereka muda mereka mampu mengalahkan pasangan nombor satu dan dua dunia. Saya fikir semangat yang sama perlu ada dalam kalangan pemain muda," kata Mohamad Norza.
BACA: Zii Jia ketuai skuad muda Malaysia dalam Piala Sudirman, Piala Thomas
BACA: Pertaruhkan pemain muda pendekatan wajar - Choong Hann
Sementara itu, senarai akhir pemain dikeluarkan BAM menyaksikan pemain di ranking ke-91 dunia Ng Tze Yong, 21, diletakkan sebagai pemain perseorangan lelaki kedua negara di selepas juara All England 2021 Lee Zii Jia.
Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun Go Pei Kee dipilih untuk bergandingan bersama Lee Meng Yean dalam acara beregu wanita menggantikan Chow Mei Kuan yang mengumumkan persaraan selepas beraksi di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.
Berikut adalah senarai pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia di Piala Sudirman, Thomas dan Uber:
Piala Sudirman
---------------------
Perseorangan lelaki : Lee Zii Jia (Ketua Pasukan), Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin
Beregu lelaki : Aaron Chia-Sooh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun
Perseorangan wanita: S Kisona, Eoon Qi Xuan, K Letshanaa
Beregu wanita : Pearly Tan-M Thinaah, Yap Ling-Teoh Mei Xing
Beregu campuran : Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei
Piala Thomas
-------------------
Perseorangan : Lee Zii Jia (Ketua Pasukan), Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin
Beregu : Aaron Chia-Soo Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Hang Yee (simpanan)
Piala Uber
---------------
Perseorangan : S. Kisona (Ketua Pasukan), Goh Jin Wei, Eoon Qi Xuan, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman
Beregu : Lee Meng Yean-Go Pei Kee, Pearly Tan-M Thinaah, Yap Ling-Teoh Mei Xing
-- BERNAMA
#Piala Thomas #Piala Uber #Piala Sudirman #Mohamad Norza Zakaria #badminton
;