SUKMA XXI: Pusat Konvensyen Serian siap sedia jadi venue gimnastik artistik
Bernama
Jun 16, 2024 18:45 MYT
Jun 16, 2024 18:45 MYT
KUCHING: Kemudahan di Pusat Konvensyen Serian yang terletak kira-kira 60km dari sini sudah siap ditambah baik susulan pemilihannya sebagai lokasi untuk penganjuran acara gimnastik artistik bagi Sukan Malaysia 2024 (SUKMA XXI Sarawak 2024).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata semua persiapan telah dibuat, hanya menunggu ketibaan atlet.
"Sebanyak 14 kategori akan dipertandingkan bagi acara berkenaan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Tarat itu selepas majlis penyerahan baton SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Serian, hari ini.
Sementara itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Kee berkata 400 atlet, sukarelawan dan petugas teknikal akan berkampung di Serian semasa penganjuran acara berkenaan nanti.
"Penduduk Serian dipelawa untuk turut serta meraikan temasya berprestij ini dengan memberi sokongan padu kepada semua atlet yang bertanding kelak," katanya
Bahagian Serian akan menjadi tempat bagi penganjuran acara gimnastik artistik SUKMA XXI 2024 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini.
-- BERNAMA