Sukma XIX di Perak lebih dekat dengan rakyat

Shafiq Noordin
Januari 20, 2018 06:09 MYT
Sukma XIX akan berlangsung pada 12 - 22 September depan, melibatkan 26 sukan dan 369 acara . - Gambar Bernama
Perak menjadi negeri pertama merakyatkan Sukan Malaysia (Sukma) XIX yang bakal berlangsung pada September depan kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kata beliau, sebanyak 369 acara yang dipertandingankan dalam temasya dwi-tahunan itu nanti akan dibahagi serta dianjurkan di kesemua 12 daerah di negeri berkenaan bagi memastikan seluruh rakyat dapat merasai kemeriahannya.
“Kerajaan negeri telah buat keputusan agar setiap acara itu dapat diadakan di setiap daerah. Paling tidak satu acara, dengan adanya pendekatan ini maka kita dapat mengagihkan dan tiada daerah akan tertingal merasai suasana Sukma 2018.
“Walapun kita tahu dari segi masalah logistik yang akan kita hadapi namun demi merakyatkan sukan ini di setiap daerah kita telah buat keputusan dan kita akan pastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Sukma XIX Perak 2018 yang bertemakan Wow! Kita Hebat! di Bulatan Amanjaya, di sini pada Sabtu.
Zambry juga menyuarakan keyakinannya bahawa Perak mampu menjadi juara keseluruhan dengan sasaran 70 pingat emas dalam temasya itu sekiranya setiap pegawai dan atlet mempunyai keazaman, keyakinan serta disiplin yang tinggi.
"Perak melahirkan ramai atlet yang mewakili negara yang cemerlang di persada antarabangsa dan saya percaya kita juga boleh berjaya atau setidak-tidaknya memberi saingan kuat dalam pungutan pingat," katanya.
Dalam majlis itu, seladang yang dinamakan “Chor” juga telah diumumkan menjadi maskot SUKMA kali ini selain memperkenalkan lagu rasmi bertajuk Wow Kita The Greatest ciptaan Datuk Wah Idris.
Perak sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Sukma pada tahun 1994 dan pencapaian terbaik negeri itu adalah pada tahun 2002 apabila memungut pingat emas kedua terbanyak dengan 49 emas di Sabah.
Sukma XIX akan berlangsung pada 12 - 22 September depan, melibatkan 26 sukan dan 369 acara dengan kira-kira 11,000 pegawai dan atlet daripada 14 kontinjen dari seluruh negara.
#Menteri Besar Perak #Perak #Sukan Malaysia #SUKMA #Zambry Abdul Kadir
;