Sukma sepatutnya sifar kes doping - Penganalisis sukan
Ridauddin Daud
September 25, 2022 16:58 MYT
September 25, 2022 16:58 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas dianjurkan buat kali ke-20 pada tahun ini, isu doping atau pengambilan dadah sepatutnya tidak lagi berlaku membabitkan atlet bertanding di Sukan Malaysia (Sukma).
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Datuk Pekan Ramli, semua pihak terlibat perlu memandang serius perkara itu dan Sukma sepatutnya zero doping case.
Selain itu, katanya, kes memalukan dan insiden berkaitan tingkah laku atlet dan pegawai di dalam dan di luar padang terhadap pegawai perlawanan, pengadil dan sebagainya perlu dibendung dan diberikan penekanan kepada semua kontinjen.
Justeru, berdasarkan pemerhatiannya terhadap Sukma ke-20, beliau berpendapat kejohanan pada tahun ini tidak berada pada tahap yang membanggakan seperti edisi sebelum ini bahkan masih banyak isu dan kontroversi tercetus sepanjang ia berlangsung.
“Kita sedia maklum kejohanan kali ini lebih kepada ‘perlu diadakan atau mesti diadakan’ setelah tertangguh sejak 2020.
“Penganjuran juga secara sederhana dan kos efektif tetapi tidaklah sampai menjejaskan kualiti sukma secara keseluruhan.
“Pujian boleh diberikan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kaedah penganjuran yang digunakan dengan memanfaatkan segala fasiliti yang ada di Institut Pengajian Tinggi (IPT) secara optimum,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambah beliau, beberapa peraturan juga perlu dikaji semula kerana menurutnya, ia sudah tidak relevan seperti larangan penyertaan atlet prestasi tinggi yang telah beraksi di Sukan Olimpik, Sukan Komanwel atau Sukan Asia.
“Mungkin larangan hanya kepada mereka yang telah menang pingat sahaja. Ada antara mereka layak atas tiket 'wild card' sahaja dan tidak capai apa-apa di temasya tersebut.
“Sudah pasti ini satu kerugian kepada atlet itu dan negerinya kerana dilarang menyertai Sukma,” ujarnya.
Katanya lagi, ada sesetengah isu tidak wajar untuk dibangkitkan tetapi dipolitikkan walaupun peraturannya sudah diketahui semua.
“Umpamanya dalam isu tidak cukup penyertaan minimum dalam sesuatu acara itu dan terpaksa digugurkan pada saat akhir sedangkan ada kontinjen yang sudah berlatih sekian lama.
“Ini tidak adil kepada mereka,” katanya.
Temasya Sukma ke-20 melabuhkan tirainya secara rasmi secara bersederhana tetapi meriah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penutupnya berkata, penganjuran SUKMA kali ini amat istimewa selepas empat tahun tidak dianjurkan disebabkan penularan COVID-19.
Menurutnya, temasya kali ini yang dianjurkan di Lembah Klang dan Pulau Langkawi tetap menemui objektifnya selain bersyukur penganjurannya berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa kekurangan.