Sukma Sarawak 2024: Terlepas podium, Sazali tetap bangga pencapaian anak
Astro Arena
Ogos 23, 2024 09:30 MYT
Ogos 23, 2024 09:30 MYT
ATLET bina badan negara, Sazali Samad, tetap berbangga dengan pencapaian anak, Nur Sabrina Hani Sazali, apabila menamatkan saingan acara angkat berat bawah 55 kilogram Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak di tempat keempat semalam.
Sabrina mengakhiri saingan kategori wanita tidak lebih 55 kilogram di tempat keempat.
Dalam satu video selepas tamat saingan, Sabrina kelihatan tidak dapat mengawal emosi apabila menitis air mata ketika dipeluk bapa dan cuba ditenangkan oleh ibunya.
Sazali menulis, "Tempat keempat pun dah cukup bagus.. syukur pada Allah.. Ayah bangga dengan Hani walapun kali pertama naik pentas @sukma_sarawak_2024."
"InshaAllah ayah percaya akan tiba masanya nanti Hani akan melakar sejarah sukan angkat berat ini.. Ayah dan mak sentiasa doakan yang terbaik buat Hani.. semangat terus, jangan putus asa, jangan mengalah!"
Dia mengakhiri saingan kategori wanita tidak lebih 55 kilogram di tempat keempat.
Pingat emas dimenangi wakil Terengganu, Alia Adani Johari yang melakukan jumlah angkatan 152kg, perak milik wakil Perlis, Nurqalida Umirah Abdullah (139kg) dan Sherleyne Jounis dari Sabah gangsa (134kg).