SUKMA perlu dikaji semula - Mazlan
Tunku Nashrul Tunku Abaidah
Julai 10, 2013 07:42 MYT
Julai 10, 2013 07:42 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) harus lihat semula pelaksanaan dan hala tuju Sukan Malaysia (SUKMA).
Menurut bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad ia penting bagi memastikan nama baik dan pembangunan temasya sukan tersebut.
Antara yang perlu diberi perhatian segera oleh MSN adalah mengenai sukan yang dipertandingkan pada setiap edisi SUKMA.
"Kalau kita lihat di Sukan Malaysia terdapat acara sukan yang bukan acara penting yang dipertandingkan di Sukan Olimpik namun saya tidak mahu dedahkan sukan tersebut, jadi dari segi senarai sukan yang perlu dimajukan kita perlu lihat semula sama ada perlu atau tidak ia dipertandingkan di Sukma" katanya.
Selain itu, Mazlan turut membangkitkan soal kesediaan setiap negeri mempersiapkan atlet untuk mengharungi sukan tahunan itu.
Malah beliau mengulangi pendirian bahawa SUKMA tidak perlu diadakan setiap tahun kerana ia menjadi beban kepada negeri bertanding.
"Saya tahu SUKMA setiap tahun jadi beban kepada negeri ada yang tidak dapat pingat dan ia bertambah membebankan apabila SUKMA dianjurkan setiap tahun ganjil" jelas Mazlan.
SUKMA diadakan setiap 2 tahun sekali bermula tahun 1986 di Kuala Lumpur, namun pada 2010 Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek mengumumkan temasya sukan itu akan diadakan setiap tahun bermula 2011.
Tuan rumah bagi SUKMA yang diadakan setiap tahun itu akan diselang-selikan di antara Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil dan negeri-negeri.
Dalam pada itu Mazlan turut menyeru KBS mengkaji semula had umur penyertaan atlet bagi temasya SUKMA.
Beliau yang juga Penasihat Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), berharap hanya atlet yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan menyertai Sukma kecuali atlet dari sukan gimnastik dan terjun.
"Dengan itu ada pembahagian atlet umur 18 ke bawah dikelola oleh KPM yang selebihnya diurus oleh MSN negeri atau persatuan sukan kebangsaan atau negeri, MSN urus atlet elit dan pelapis manakala MASUM urus atlet IPT, jadi jelas pembahagian ini masing-masing ada tugas itu"
Tambahnya, penganjuran SUKMA ketika ini banyak menggunakan atlet dari Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) berbanding atlet yang bernaung dibawah persatuan negeri.
Jelas Mazlan sebelum ini kerap berlaku pertindihan antara KPM dan pihak MSN negeri dalam soal pemilihan atlet.
Ia secara tidak langsung memberi kesusahan kepada pihak kementerian untuk menyertai kejohanan-kejohanan besar di peringkat Asean.
Ini kerana kebanyakan atlet mereka telah diambil oleh pihak MSN negeri masing-masing untuk menyertai sukma.
Oleh sebab itu kontinjen negara menjadi lemah dan kekurangan atlet berbakat.