Sukma Perak: Giliran Sarawak pula dominasi tenpin boling

Bernama
September 15, 2018 23:41 MYT
Gandingan Abang Afiq Yazid Abang Azman dan Christopher Tiong Lee Siong menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Sarawak dalam acara tenpin boling kategori beregu lelaki dengan mengumpul 2,505 jatuhan pin. - Gambar hiasan
Skuad tenpin boling Sarawak menyambar dua pingat emas pada hari kedua acara tenpin boling yang berlangsung di Ampang Superbowl, Ipoh Parade pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, malam ini.
Gandingan Abang Afiq Yazid Abang Azman dan Christopher Tiong Lee Siong terlebih dahulu menceriakan kem Sarawak apabila mereka menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Sarawak dalam acara tenpin boling kategori beregu lelaki dengan mengumpul 2,505 jatuhan pin.
Pingat perak diraih pasangan Selangor menerusi Muhammad Azizi Naim Jabar dan Adri Wafiq Hussin yang melakukan 2,416 jatuhan pin meninggalkan pasangan Negeri Sembilan, Muhammad Al Qayyum Syafiq Noor Akmal dan Ahmad Aiman Ahmad Mazlan untuk pingat gangsa dengan 2,382 jatuhan pin.
"Saya berasa bangga dengan pencapaian ini. Dari awal permainan saya hanya kekal fokus dan menyempurnakan setiap balingan dengan konsisten," kata Christopher yang mengekalkan pingat emas pada edisi lepas di Sarawak bersama pasangan yang sama.
Sementara itu, Abang Afiq pula menyifatkan kemenangan mereka hari ini adalah kerana beraksi dengan semangat berpasukan yang tinggi walaupun beliau merupakan penyumbang jatuhan pin tertinggi berbanding Christopher.
"Saya gembira dengan permainan saya. Kami saling membantu menaikkan moral antara satu sama lain dan itu yang lebih penting untuk mencapai kejayaan," katanya.
Beregu tenpin boling wanita Sarawak pula meneruskan kecemerlangan pasukan lelaki apabila turut meraih emas menerusi Nur Hazirah Ramli dan Gillian Lim Siew Aiok dengan jatuhan pin tertinggi, 2,298 pin.
Pasangan dari Pulau Pinang yang diwakili oleh Nur Amirah Auni Azman dan Anis Shazlin Zulkhisam terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila hanya ketinggalan 43 pin di belakang Sarawak manakala gangsa menjadi milik pasangan adik beradik dari Wilayah Persekutuan Siti Nurzulaika dan Siti Nurnadia Ismail dengan 2,231 jatuhan pin.
"Saya amat gembira selepas mendapat tahu kami mendahului namun sedikit gusar di hujung permainan selepas melihat pasangan Pulau Pinang semakin mengejar. Tetapi Alhamdulillah jatuhan pin yang kami lakukan berjaya menyumbang emas kepada Sarawak," kata Nur Hazirah. -- Bernama
#Sarawak #Sukan Malaysia #Sukma Perak #tenpin boling
;