SUKMA: Pelajar Tingkatan Empat antara pemain barisi ragbi wanita Sabah

Bernama
Ogos 9, 2024 02:40 MYT
Pemain ragbi wanita Sabah giat menjalani latihan intensif menjelang SUKMA Sarawak 2024 ketika tinjauan di Sandakan, 7 Ogos 2024. --fotoBERNAMA
SANDAKAN: Pasukan ragbi wanita Sabah bakal membariskan hampir separuh pemain muda berusia 16 tahun berada dalam tingkatan empat bagi membawa cabaran negeri itu pada Sukan Malaysia Ke-21 di Sarawak pada bulan ini.
Pembantu Jurulatih Ragbi Sabah Josephine Augustine Joseph berkata meskipun dibarisi pemain muda, pihaknya percaya pasukan ini mampu mencapai sasaran untuk naik ke atas podium bagi acara ragbi wanita itu yang akan diadakan di Miri.
"Kami cuba menjalankan latihan yang paling asas pada masa ini. Pasukan yang kami ada sekarang terdiri daripada pemain muda, dengan hanya ada dua atau tiga pemain senior, malah kita ada lima ke enam pemain yang masih belajar di tingkatan empat.
"Pasukan yang ada sekarang meskipun masih muda, kurang pengalaman serta permainan, tetapi kita (jurulatih) berharap dengan latihan yang dijalankan, mereka dapat memerhati dan mengikuti perkembangan sepanjang latihan diadakan," katanya kepada Bernama.
Acara ragbi pada SUKMA kali ini dijadualkan berlangsung di Stadium Miri antara 19 ke 22 Ogos ini.
Menurut Josephine Augustine, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi dalam persediaan ke SUKMA, antaranya masalah pemain cedera yang sedikit merencatkan perancangan serta momentum persiapan."
"Persiapan serius kami jalankan sejak awal tahun ini, tetapi terdapat beberapa pemain yang masih mempunyai komitmen lain seperti pembelajaran dan peperiksaan, jadi kami tidak dapat mengumpulkan mereka dalam satu masa untuk latihan berpusat.
"Harapan kami adalah untuk mencapai sasaran dan membawa pulang sesuatu untuk Sabah. Sasaran kami adalah untuk naik ke podium, dan walaupun podium paling atas adalah pingat emas yang tentunya manis, apa-apa pingat untuk pemain muda kami juga adalah sesuatu yang baik," katanya lagi.**
Selain itu, beliau berpendapat pasukan wanita yang bakal memberi saingan sengit kepada Sabah adalah pasukan tuan rumah iaitu Sarawak di samping Terengganu dan Selangor.
Acara sukan ragbi wanita pertama kali dipertandingkan pada SUKMA 2018 di Perak, dan ketika itu, pasukan ragbi wanita Sabah muncul juara.
SUKMA 2020 tidak diadakan kerana pandemik COVID-19 dan pada SUKMA 2022 pasukan ragbi wanita Sabah membawa pulang pingat gangsa.
-- BERNAMA
#ragbi wanita Sabah #pemain muda #Sukma Sarawak #pelajar sekolah