Sukma MSN: Johor idam cipta sejarah paling banyak raih emas

Astro Arena
September 24, 2022 10:30 MYT
Johor berjaya mencapai sasaran 70 pingat emas menerusi kejayaan atlet angkat berat Sonia Cassendra Masne yang mengungguli kategori atas 81kg wanita dengan angkatan keseluruhan 208kg. - Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Johor
SELEPAS berjaya mencapai sasaran 70 emas yang ditetapkan buat kali kedua, kontinjen Johor kini mengintai untuk memperoleh lebih daripada 80 emas sebelum temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 melabuhkan tirainya hari ini.
Ketua Kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri, berkata sekiranya sasaran lebih 80 emas itu berjaya direalisasikan, ia akan menyaksikan negeri dari selatan itu mencipta rekod baharu temasya sebagai negeri paling banyak memenanginya sejak diperkenalkan pada 1986.
“Kalau kami berjaya melepasi 80 emas, kami akan cipta rekod baharu. Bukan sesuatu yang mustahil dan saya percaya atlet akan terus berjuang sehingga hari terakhir, esok (Sabtu).
“Apapun, saya sangat berbangga dengan pencapaian atlet setakat ini. Mereka semua menunjukkan prestasi yang sangat baik, kalau ikutkan lebih 70 peratus berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan Majlis Sukan Negeri,” katanya.
Sebelum ini, atlet angkat berat, Sonia Cassendra Masne menghadiahkan emas ke-70 buat Johor selepas mengungguli kategori atas 81 kilogram (kg) wanita dengan angkatan keseluruhan 208kg.
Setakat jam 4 petang pada Jumaat, kanu menjadi penyumbang emas terbesar buat kontinjen Johor apabila setakat ini berjaya memenangi 20 emas sekali gus mencapai sasaran ditetapkan diikuti olahraga (sembilan), berbasikal (11), wushu (enam), renang (enam), menembak (lima), memanah (dua), judo (dua), silat (dua), karate (satu), angkat berat (dua), e-sukan (satu) dan petanque (satu).
Untuk rekod, Johor tidak pernah muncul juara keseluruhan Sukma sejak diperkenalkan pada 1986 dengan pencapaian terbaik adalah mengakhiri saingan di kedudukan kedua keseluruhan pada 1992 ketika menjadi tuan rumah dengan mengutip 20 emas.
Bagaimanapun, daripada segi pencapaian pingat pula, Johor mengumpul emas terbanyak pada edisi 2010 di Melaka dengan meraih 40 emas, sekali gus menyaksikan pencapaian diraih setakat jam 3.30 petang Jumaat sudah melepasi rekod terbaik buat negeri berkenaan.
Pada edisi di Perak empat tahun lalu, Johor mengakhiri saingan dengan di kedudukan kesembilan selepas mengumpul 29-34-37 dengan Terengganu muncul juara buat kali kelima dengan meraih 56-51-53.
#Sukma MSN #Johor #pingat emas #Mohamad Najib Samuri
;