Sukma MSN: Gabriel Gilbert harap penyertaannya beri inspirasi buat penerjun muda
Astro Arena
September 21, 2022 08:15 MYT
September 21, 2022 08:15 MYT
WALAUPUN hanya sehari menjalani latihan bersama, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham, Gabriel Gilbert Daim, tiada masalah membimbing Julfaddli Jali menghadiahkan pingat emas acara terjun tiga meter papan anjal seirama lelaki buat kontinjen Sabah dalam Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Gandingan Gabriel Gilbert-Julfaddli muncul penerjun terbaik dengan menghimpunkan 317.37 mata untuk bergelar juara sambil wakil Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim-Yong Rui Jie, memenangi perak dengan 308.4 mata.
Pasangan Sarawak, Elvis Priestly-Soh Tze Kang, pula muncul ketiga terbaik dengan 302.84 mata.
Gabriel Gilbert, selaku penerjun kebangsaan, berharap penyertaannya dalam Sukma kali ini dapat memberikan inspirasi kepada penerjun-penerjun muda agar sentiasa memberikan persembahan dan saingan terbaik dalam setiap kejohanan yang akan datang.
"Mungkin saya dapat membantu mereka untuk lebih meningkat, mereka dapat lihat bagaimana saya berlatih," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syen Yeoh.
"Jadi, dalam Sukma yang berikutnya, mereka akan mencuba tahap kesukaran yang lebih tinggi dan kehadiran saya mungkin dapat membakar semangat mereka.
"Lagipun, ini adalah Sukma terakhir saya." - Stadium Astro