Sukma: Melaka umum insentif RM25,000 untuk Khairul Hafiz
Raffi Bachik
Ogos 1, 2016 23:41 MYT
Ogos 1, 2016 23:41 MYT
Kerajaan Melaka mengumumkan insentif sebanyak RM25,000 kepada Khairul Hafiz Jantan yang mencipta rekod baharu dalam acara 100 meter pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 baru-baru ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berharap supaya pelan jangka panjang terhadap atlet cemerlang dapat dirangka agar bakat mereka boleh dikembangkan ke peringkat antarabangsa.
“Jadi saya mengharapkan sesuatu rencana yang konkrit bagi atlet ini dengan dorongan dan panduan daripada Kementerian Belia dan Sukan dengan harapan supaya para atlet ini tidak disia-siakan.
“Kalau ada program yang terbaik, saya akan bersama-sama mendengar dan memberi tunjuk jalan untuk memimpin anak-anak ini supaya mereka boleh menjadi juara dunia pada masa akan datang,” kata beliau kepada pemberita.
Datuk Seri Idris ditemui pada majlis menyambut skuad Sukma Melaka dan majlis rumah terbuka pihak berkuasa tempatan di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Ayer Keroh pada Isnin.
Sementara itu bagi Khairul Hafiz, dia akan terus mengikuti latihan seperti biasa bagi mempersiapkan diri menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia pada September depan.
“Perasaan gembira dan berterima kasih banyak kepada orang Melaka, saudara mara saya, ibu, datuk yang telah memgadakan sambutan ini, perancangan selepas ini saya akan teruskan latihan saya, dan saya akan ikut jurulatih saya,” katanya.
Khairul Hafiz mencatatkan masa 10.18 saat, sekali gus memadam rekod 10.30 saat yang dicatat bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek.