Sukma KL: 88 atlet Sarawak tarik diri

Bernama
Januari 19, 2022 04:26 MYT
Abdul Karim berkata jumlah atlet paling ramai menarik diri adalah bagi acara hoki iaitu 13 orang diikuti Esport (12), berbasikal (10) dan perahu (sembilan). - Gambar fail/ Bernama
KUCHING: Seramai 88 atlet Sarawak terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata melepasi usia kelayakan, komitmen pekerjaan, berkahwin dan ditawar melanjutkan pelajaran di universiti merupakan antara punca mereka menarik diri daripada temasya itu yang sepatutnya berlangsung di Johor pada 2020 namun terpaksa ditunda dua kali.
"Keseluruhannya, ada seramai 812 atlet Sukma dari Sarawak dalam senarai panjang," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau berkata jumlah atlet paling ramai menarik diri adalah bagi acara hoki iaitu 13 orang diikuti Esport (12), berbasikal (10) dan perahu (sembilan).
Katanya daripada keseluruhan 30 acara sukan yang disertai Sarawak pada temasya itu, hanya judo, gimnastik artistik, renang dan golf menyaksikan tiada atlet menarik diri.
Abdul Karim berkata atlet lain masih kekal menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi temasya itu dan tetap komited biarpun belum pasti acara mereka akan dipertanding.
Pada Oktober tahun lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Jawatankuasa Tertinggi Sukma bersetuju menangguhkan Sukma Johor hingga ke tahun 2024 serta membenarkan Majlis Sukan Negara menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2020 di Kuala Lumpur tahun ini.
-- BERNAMA
#atlet Sarawak #Abdul Karim Rahman Hamzah #Sukma KL #tarik diri
;