SUKMA ke-18: Nur Fatin terkejut catat rekod baru

Astro Arena
Julai 25, 2016 15:07 MYT
Fatin sendiri tidak menyangka prestasinya mampu mencapai catatan yang dilakukannya pada Isnin dan tidak menolak kemungkinan untuk bersama skuad kebangsaan andai diberi peluang.
ATLET menembak Perak, Nur Fatin Syairah Abdul Latif, yang tidak pernah menyangka kelibatnya mampu mengatasi penembak lain, menerima bonus untuknya dalam SUKMA kali ini apabila berjaya mencipta rekod baru bagi acara 10 meter air riffle wanita.
Catatan 414.5 mata sudah cukup meletakkan nama Fatin selaku pemegang rekod baru SUKMA selepas mengatasi catatan dari Johor yang dilakukan Nur Ain Kamari dua tahun lalu.
Fatin sendiri tidak menyangka prestasinya mampu mencapai catatan yang dilakukannya pada Isnin dan tidak menolak kemungkinan untuk bersama skuad kebangsaan andai diberi peluang.
"Kalau ada rezeki insyaAllah dapat masuk skuad kebangsaan. Saya tidak meletak harapan terlalu tinggi, cuma saya fokus untuk beri yang terbaik, insyaAllah," katanya.
Sementara itu, dalam acara akhir skuasy perseorangan lelaki, Ng Eain Yow dari Wilayah Persekutuan mengejutkan pilihan utama dari Kelantan, Mohd Syafiq Mohd dengan kemenangan straight set 12-10, 11-9, 11-8.
Ia sekali gus memastikan pingat emas buat Wilayah Persekutuan manakala Kelantan berpuas hati dengan gangsa.
"Saya membuat kesilapan di perlawanan pertama, tetapi saya memberitahu diri saya untuk terus lakukan yang terbaik hingga ke perlawanan akhir di samping mengharapkan tuah dalam perlawanan ini," ujar Ng.
#atlet menembak #Nur Fatin Syairah Abdul Latif #SUKMA
;