Sukma: Johor tunggu masa disahkan selaku juara keseluruhan

Bernama
September 22, 2022 05:30 MYT
Atlet pelumba berbasikal trek Johor Muhammad Ridwan Sahrom bergambar bersama pingat emas yang diraih dalam acara kategori acara kategori Men's Keirin akhir. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Memasuki hari-hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 yang akan melabuhkan tirainya Sabtu ini, kontinjen Johor kian hampir disahkan sebagai juara keseluruhan selepas unggul di tangga teratas kedudukan pingat dengan 69 emas, 39 perak dan 39 gangsa.
Johor jauh meninggalkan 14 pasukan lain termasuk Wilayah Persekutuan yang kini berada di tempat kedua dengan 40 emas, 45 perak dan 51 gangsa diikuti Terengganu yang mengumpul 38 emas, 37 perak dan 50 gangsa di tempat ketiga.
Penembak negara yang juga Juara Sukan SEA 2021, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridhwan Sahrom, merupakan antara lapan penyumbang emas Johor pada Khamis.
Nurul Syasya membuktikan bidikannya sekali lagi tepat apabila meraih emas keempat peribadi, kali ini bersama Hazeq Haqeem R. Azmi bagi acara 10m air pistol berpasukan campuran, selepas menundukkan Justin Joanes Kelukin-Law Wen Xuen, 16-12, dari Sarawak di Lapang Sasar Nasional Subang.
Aksi "panas" pula tercetus di Velodrom Nasional, Nilai, apabila Muhammad Ridhwan hampir terlepas pingat emas dimenangi daripada genggamannya.
Tindakan Muhammad Ridwan yang didakwa bergerak ke luar trek dengan niat memaksa lawan untuk naik ke atas menyebabkan beliau menerima bantahan daripada beberapa pihak dan seterusnya dikenakan penalti sehingga tercampak ke kedudukan kelima dalam saingan akhir.
Bagaimanapun, kem Johor yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kemudiannya melakukan protes sebelum Jawatankuasa Komisar Sukma memutuskan Muhammad Ridwan adalah juara mutlak acara berkenaan.
Sementara itu, perenang muda kebangsaan, Bryan Leong, yang mewakili Wilayah Persekutuan mencipta sensasi bagi acara 100m kuak kupu-kupu lelaki susulan kejayaan memadam rekod 13 tahun iaitu 53.33 saat (s) milik bekas perenang negara, Daniel Bego di Kejohanan Dunia di Rome, Italy pada 2009, dengan catatan baharu 53.32s, di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Sementara itu debaran peminat bola sepak Pulau Pinang dan Terengganu kian memuncak apabila kedua-dua pasukan bakal menentukan pemilik "ibu segala pingat" dalam aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, yang pastinya akan mencuri tumpuan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, hari ini.
Pulau Pinang sudah semestinya berkobar-kobar untuk mengukir sejarah meraih kejayaan sulung acara bola sepak selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada final edisi 2000 dan 2002.
Bagaimanapun, status pasukan Terengganu yang pernah meraih gelaran hatrik emas pada 2006, 2008 dan 2010 tidak boleh dipandang ringan pasukan dari utara tanah air itu, sekali gus menyaksikan pertembungan sengit bakal berlaku malam nanti.
-- BERNAMA
#kontinjen johor #SUKMA #Sukan Malaysia #pingat
;