SUKMA: Ganjaran RM10,000 menanti atlet Selangor berjaya raih emas - Amirudin

Bernama
Ogos 3, 2024 23:36 MYT
Amirudin berkata bagi acara berpasukan dengan lima pemain ke bawah, penyumbang pingat emas akan menerima imbuhan RM3,000 setiap seorang. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menawarkan insentif kemenangan RM10,000 kepada atlet individu yang berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagi acara berpasukan dengan lima pemain ke bawah, penyumbang pingat emas akan menerima imbuhan RM3,000 setiap seorang.
"Ganjaran sebegini sudah ditetapkan sejak 2015 dan mengambil kira perubahan masa, kita ingin pertingkatkan atau menyemak semula ganjaran kepada atlet selepas tempoh yang agak lama.
"Saya harap dengan pengumuman ganjaran yang kita akan berikan ini dapat memberi semangat tambahan untuk diterjemahkan kepada pencapaian atlet dan kontinjen negeri pada SUKMA kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke temasya SUKMA 2024 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan ganjaran bagi pemenang pingat perak dan gangsa supaya atlet kontinjen menyasarkan ganjaran utama yang ditawarkan sekali gus mengulangi kejayaan Selangor sebagai juara keseluruhan pada SUKMA 2016 di Sarawak.
Pada edisi kali ini, Selangor yang akan menyertai kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan dan menyasarkan 61 pingat emas menghantar 1,050 individu merangkumi 704 atlet, 213 pegawai pasukan serta 133 sekretariat pasukan.
Selangor pernah menjuarai SUKMA sebanyak sembilan kali dan pada SUKMA 2022 kontinjen negeri itu mengakhiri temasya pada tempat keempat dengan kutipan 32 emas, 54 perak dan 45 gangsa.
-- BERNAMA
#SUKMA #pingat emas #perubahan masa #semangat tambahan
;