SUKMA 2024: Skuad ping pong Wilayah Persekutuan menang emas beregu wanita dan lelaki
Bernama
Ogos 23, 2024 22:42 MYT
Ogos 23, 2024 22:42 MYT
KUCHING: Skuad ping pong Wilayah Persekutuan menambah koleksi emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila mengungguli kategori beregu lelaki dan wanita, hari ini.
Pada aksi berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No.3 di sini, gandingan Lee Yee Jat-Tan Yi Heng meraih emas kategori lelaki dengan mengetepikan rakan sepasukan, Caleb Hong Zi An-Im Jin Zhen 3-0 setelah menang ketiga-ketiga set 11-4,11-5 dan 11-4.
Sementara, pingat gangsa milik Kedah menerusi pasangan Lee Jian Shi-Shen Wong Qi yang mengalahkan wakil Selangor, Tey Hong Yu-Pang Xiang Jun, 3-1.
Lee-Shen menang set pertama 11-5, namun Tey-Pang bangkit di set kedua dengan keputusan 11-4 sebelum beregu Kedah itu mencatat kemenangan dalam dua set seterusnya, 11-5 dan 11-6.
Saingan beregu wanita pula menyaksikan Lim Jing Shuen-Im Li Ying terpaksa berhempas pulas beraksi sehingga ke set penentuan sebelum berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Wilayah Persekutuan.
Pada set pertama dan kedua, Lim-Im menang 11-9 dan 11-6 ke atas lawan mereka Look Lee Peng-Lim Xi Qian dari Pulau Pinang.
Bagaimanapun, perlawanan semakin sengit selepas pasangan Pulau Pinang itu menang pada set ketiga dan keempat dengan keputusan 11-7 dan 11-9 sehingga mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kehebatan wakil Wilayah Persekutuan tidak dapat disekat apabila mereka kembali bangkit sebelum menang 11-6 sekali gus memastikan pingat emas dalam genggaman.
Acara ping pong menawarkan enam pingat emas dan setakat ini, Wilayah Persekutuan merangkul tiga emas manakala Selangor satu.
Esok, dua pingat emas akan menjadi taruhan pada hari terakhir pertandingan melibatkan masing-masing perseorangan lelaki dan wanita.
-- BERNAMA