SUKMA 2024: Skuad gimrama Wilayah Persekutuan tiada tandingan

Bernama
Ogos 19, 2024 21:40 MYT
Pasukan Gimrama Wilayah Persekutuan menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara latihan berkumpulan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Skuad gimrama Wilayah Persekutuan mengekalkan status sebagai kuasa besar sukan itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila menyapu bersih kesemua enam pingat emas.
Selepas menyambar satu emas dan satu perak dalam acara all-around individu semalam, pasukan itu menambah koleksi pingat dengan lima emas dan dua perak pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.
Saingan hari ini menyaksikan Cassidy Tan Jia Xin muncul atlet paling cemerlang apabila menambah dua lagi koleksi emas dan satu perak.
Atlet berusia 13 tahun itu berjaya memperagakan aksi memukau untuk meraih emas acara bola dengan mengutip 26.55 mata manakala rakan sepasukannya, Rhea Dhaliwall (25.35) dan Lee Li Momoka Sam (24.20) dari Selangor, masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
Cassidy juga turut cemerlang dalam acara riben untuk muncul juara dengan mata keseluruhan 23.7 mata, manakala Dhaffatul Nurbaiti Harman (22.40) dari Negeri Sembilan dan Lee Li (21.9)berpuas hati dengan perak dan gangsa.
Sementara itu seorang lagi atlet Wilayah Persekutuan Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan mempamerkan persembahan menakjubkan untuk meraih emas dalam acara belantan dengan catatan 27.2 mata.
Nur Zhafirah,14, mengetepikan Cassidy (25.65) dan Jenevieve Tan Su Qi (24.15) dari Sarawak, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Bagi acara gelung, Nur Zhafirah merangkul emas dengan catatan 23.2 mata menewaskan pencabarnya Dhaffatul Nurbaiti (24.7) dan Lee Li (23.65).
Wilayah Persekutuan menutup tirai gimrama dengan merangkul pingat emas acara latihan berkumpulan bagi aparatus lima gelung 10 belantan mengutip markah keseluruhan 48.30 mata menewaskan Selangor (42.95) dan Negeri Sembilan (42.25).
Jurulatih Wilayah Persekutuan Olivia Tai berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang mempamerkan persembahan di luar jangkaan dan melepasi sasaran pingat ditetapkan.
"Kami sebenarnya menyasarkan lima pingat emas namun memperoleh enam. Kunci kejayaan kami ialah berdisiplin dan berusaha keras serta mendapat sokongan daripada pelbagai pihak," katanya.
-- BERNAMA
#skuad gimrama #Wilayah Persekutuan #Sukma 2024 #pingat emas