SUKMA 2024: Sabah bolot empat emas di gelanggang silat
Bernama
Ogos 23, 2024 22:37 MYT
Ogos 23, 2024 22:37 MYT
MIRI: Pesilat Sabah mencipta sensasi selepas menyambar empat daripada 20 pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Bandaraya Miri hari ini.
Emas pertama Sabah disumbangkan Muhammad Razfadhlur Rahman Razaineh yang beraksi dalam Kelas Putra C selepas menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan Mohamad Ridhuan Sulaiman 40-30.
Lebih manis abangnya, Muhamad Razfirdaus menggandakan pingat emas Sabah setelah menumpaskan wakil Kedah Muhammad Saiful Hazim Mazukhi 41-35 dalam Kelas C Putra.
Emas ketiga Negeri Di Bawah Bayu pula diperoleh daripada Awangku Tarmizal Ag Tamin dalam Kelas D Putra selepas menewaskan Muhammad Adam Tajudin dari Kedah 26-25.
Sabah kemudian melengkapkan kutipan empat emas hasil kemenangan Muhammad Hassan Mahmood ke atas Megat Razman Abd Rahman dari Wilayah Persekutuan 39-19 dalam pertarungan final Kelas I Putra.
Selain empat emas, Sabah turut membawa pulang tiga pingat perak masing-masing menerusi Safia Umairah Hussin (Kelas Bawah 45 kilogram), Riezlynn Edelya Edtasha Ahmad Rozi (Kelas A Putri), dan Nur Ilyana Natasyah Abdullah (Kelas C Putri).
Sarawak, Perak, Terengganu serta Melaka pula masing-masing membolot dua emas pada hari terakhir silat dipertandingkan.
-- BERNAMA