SUKMA 2024: Persiapan Negeri Sembilan hampir 100 peratus
Bernama
Julai 29, 2024 22:35 MYT
Julai 29, 2024 22:35 MYT
SEREMBAN: Kontinjen Negeri Sembilan telah mencapai hampir 100 peratus persiapan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Ketua kontinjen Negeri Sembilan ke temasya itu Mustapha Nagoor berkata kira-kira 500 atlet akan mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan itu dan kesemua mereka kini dalam fasa terakhir persiapan.
"Kita sudah hampir siap sedia. Semua pasukan kebelakangan ini banyak buat perlawanan persahabatan, sekarang tengah peringkat cooling down...atlet berehat dan lebih kepada persediaan mental, teknik dan sebagainya. Kita tidak mahu mereka mengalami kecederaan pada saat akhir.
"Sasaran pingat emas kita masih kekal 20 ketika ini. Kalau semua berjalan dengan baik, kita boleh pergi jauh dan dapat lebih," katanya kepada pemberita hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri itu ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) dan Jant Marketing Sdn Bhd (Jantzen) sebagai rakan rasmi air minuman kelab itu, musim ini.
NSFC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Faliq Firdaus Muhammad Rom manakala Jantzen diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Calvin Yee Jong Hoe.
SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri selain menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.
-- BERNAMA