SUKMA 2024: Negeri Sembilan raih emas tenpin boling selepas 14 tahun
Bernama
Ogos 18, 2024 23:00 MYT
Ogos 18, 2024 23:00 MYT
KUCHING: Skuad lelaki Negeri Sembilan melangkah ke podium dengan bergaya apabila menamatkan penantian 14 tahun pingat emas tenpin boling Sukan Malaysia (SUKMA) hari ini.
Pada saingan di Megalanes Sarawak di sini, gandingan Izz Naqiuddin Putera Islahuddin, Carl Zharfan Aisy Redzuan dan Azraei Najmi Azizan melakukan 3,726 jatuhan pin untuk mengungguli acara trio lelaki.
Trio Pulau Pinang Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin, Muhammad 'Aqil Faizal dan Muhammad Hariz Adlan Azman melakukan 3,711 jatuhan pin untuk pingat perak manakala gangsa milik wakil Perak Ammar Isyraf Mohammad Qhairul Nizzam, Wooi Zi Jun dan Chong Yew Jin dengan 3,681 jatuhan pin.
"Kali terakhir Negeri Sembilan dapat emas pada 2010 menerusi acara berpasangan campuran. Kami sangat gembira," kata Izz Naqiuddin Putera yang juga atlet pelapis kebangsaan.
Sementara itu, atlet kelahiran Johor Carl Zharfan Aisy tidak menyesal mendaftarkan diri di bawah Negeri Sembilan sejak lapan tahun lepas apabila penampilan pertamanya di SUKMA membuahkan hasil lumayan.
Dalam saingan wanita, Nur Hazirah Ramli menyerlahkan taringnya apabila membantu Lavinia Kho dan Asya Dania Azree meraih pingat emas dengan 3,591 jatuhan pin.
Skuad Selangor terdiri daripada Nur Irdina Batrisyia Mat Aris, Nur Nais Falilnesa Isman dan Afiqah Kamilia Ali mengutip pingat perak dengan 3,494 jatuhan pin manakala wakil Kedah Nur Anis Anisya Muhamad Zaffli, Farissa Najihah Yousmera and Nurul Anis Nabila Mohd Nizam memungut gangsa dengan 3,459 jatuhan pin.
-- BERNAMA