SUKMA 2024: Kerajaan Kelantan beri insentif jika atlet berjaya peroleh pingat

Bernama
Ogos 14, 2024 01:50 MYT
Kerajaan Kelantan akan memberikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang bakal bermula secara rasmi Sabtu ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan memberikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang bakal bermula secara rasmi Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, jumlah sebenar bagi insentif berkenaan akan ditentukan kemudian selepas atlet negeri pulang daripada SUKMA di Bumi Kenyalang itu.
Beliau berkata, bagi mengetahui jumlah sebenar insentif kepada atlet, pihaknya akan mendapatkan kelulusan dalam mesyuarat jawatankuasa Ahli Lembaga Pengarah (ALP) yang akan diadakan nanti.
"Peruntukan akan dikeluarkan menerusi MSN (Majlis Sukan Negeri) setelah perkara itu dibincangkan dan diluluskan ALP," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Zamakshari berkata, walaupun jumlah insentif itu tidak tinggi, namun ia akan diberikan sebagai galakan dan penghormatan untuk meraikan atlet yang berjaya meraih pingat serta mengharumkan nama Kelantan.
Beliau berkata, kerajaan negeri setakat ini merancang memberikan insentif dalam bentuk kewangan, namun jika ada pencapaian yang memberangsangkan, insentif seperti tanah atau rumah akan dipertimbangkan bergantung pada kelayakan.
"Sebagai contoh, atlet ini ada sebab kukuh dan berada dalam keadaan daif termasuk tiada rumah, kerajaan negeri boleh pertimbangkan kediaman seperti rumah Dhuafa, tetapi ia bergantung pada peruntukan semasa," katanya.
Zamakshari berharap atlet Kelantan yang menyertai SUKMA Sarawak dapat mencapai sasaran atau lebih dari segi kedudukan tertinggi dalam temasya berprestij itu.
"Kerajaan Kelantan mendoakan agar atlet buat yang terbaik bagi mengangkat nama negeri dan percaya pada usaha, doa dan tawakal," katanya.
Kelantan akan menghantar 400 atlet untuk menyertai 30 acara sukan yang dipertandingkan dan menyasarkan kutipan 56 pingat melibatkan 20 pingat emas, 10 perak dan 26 gangsa pada temasya sukan dwitahunan itu.
SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016. - BERNAMA
#Sukma 2024 #Kerajaan Kelantan #insentif SUKMA #Majlis Sukan Negeri