SUKMA 2024: Kelajuan jadi senjata skuad ragbi wanita Selangor

Bernama
Julai 22, 2024 04:30 MYT
Pada SUKMA 2022, skuad ragbi wanita Selangor tumpas pada perlawanan akhir kepada pasukan Kedah dengan jaringan 17-12. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Selepas terpaksa berpuas hati di tempat kedua pada edisi Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, skuad ragbi wanita Selangor optimis dapat menebus kekecewaan dan mengutip pingat emas pada kejohanan dwitahunan itu di Sarawak, bulan hadapan.
Mengambil pengajaran daripada edisi lepas, jurulatihnya Mohammad Faiz Samsukhidir berkata barisan kejurulatihan telah bekerja keras memantapkan pasukan dengan merekrut pemain-pemain baharu, khususnya yang mempunyai keupayaan dari aspek kepantasan dan kekuatan fizikal.
Beliau berkata kekurangan dari segi pemain yang memiliki kepantasan dikenal pasti menjadi antara faktor kegagalan skuad ragbi wanita Selangor memenuhi impian memenangi pingat emas pada kejohanan itu dua tahun lepas.
"Perbezaan ketara antara skuad sekarang dengan pasukan 2022 adalah kelajuan. Sekarang pasukan memiliki beberapa pemain yang boleh bertindak selaku 'pelari pecut' berbanding hanya seorang sahaja pada skuad 2022.
"Dengan kelebihan itu serta barisan pemain yang lebih mantap dari segi kekuatan dan juga prestasi yang agak seimbang antara pemain utama dan simpanan, kita yakin skuad ini mampu memberi cabaran dan berupaya menebus kegagalan pada kejohanan lalu," katanya kepada Bernama.
Pada SUKMA 2022, skuad ragbi wanita Selangor tumpas pada perlawanan akhir kepada pasukan Kedah dengan jaringan 17-12.
Mengulas mengenai persiapan pasukan, Mohammad Faiz berkata kesemua pemain memberikan komitmen yang tinggi semasa latihan dan telah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi memulakan pemburuan pingat emas pada temasya yang akan bermula pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Beliau berkata kekangan utama ialah waktu latihan yang agak terhad memandangkan hampir 80 peratus pemain terdiri daripada pelajar sekolah dan enam daripada mereka akan menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.
"Saya yakin skuad ini mampu memberikan cabaran dan kepantasan akan menjadi senjata utama dalam menjayakan misi pasukan memenangi pingat emas," katanya yang menjangkakan saingan sengit daripada pasukan Sarawak, Labuan dan Terengganu.
Selain ragbi, kontinjen Selangor yang pernah muncul juara keseluruhan sebanyak sembilan kali, menyasarkan 61 pingat emas pada edisi kali ini menerusi renang, olahraga, memanah, tenis dan badminton.
-- BERNAMA
#SUKMA #badminton #pingat emas #ragbi wanita
;